X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

PN tidak akan bekerjasama dengan PH dalam PRU15: Muhyiddin

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat kerana gabungan PN yang dianggotai komponen parti Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) mempunyai perbezaan dengan PH.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, kerjasama hanya boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku rombakan besar-besaran dalam PH.

“Dalam bentuk kerjasama PH yang sedia ada tak mungkin, bukan kita tidak suka perpaduan kerana ada banyak perbezaan ketara. Saya dulu ada pengalaman di situ (dan) sebab itu kita (Bersatu) buat keputusan untuk meninggalkan PH.

“Antara faktor menyebabkan kita tidak bersedia untuk bersama-sama adalah satu parti yang ada dalam PH dilihat sebagai tidak pro-Melayu, Bumiputera, sejarahnya mempertikaikan hak dan sebagainya, jadi kita tidak fikir boleh bersama dalam jemaah,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mewakili PH, baru-baru ini mencadangkan supaya PH dan PN bekerjasama pada PRU akan datang.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ketika ditanya mengenai bagaimana parti itu boleh menarik sokongan masyarakat luar bandar, berkata beliau tidak bimbang untuk berdepan dengan parti lain dalam pertandingan di kerusi luar bandar.

“Sebab itu di Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini kita ambil cabaran untuk (bertanding) tiga penjuru.

"... dan terbukti bahawa walaupun kita tidak berjaya menambah bilangan, tetapi penganalisis yang saya sebut dalam ucapan tadi telah membuat kajian mendalam yang menunjukkan bahawa trend sokongan yang agak besar beralih kepada Bersatu ataupun rakan lain di dalam Perikatan Nasional, termasuk Pas," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!