Komuniti nelayan diminta peka keselamatan di laut

Keadaan angin kencang dan ombak besar yang dirakam di pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Keadaan angin kencang dan ombak besar yang dirakam di pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
A
A
A

KEMAMAN - Komuniti nelayan diingatkan sentiasa menitikberatkan soal keselamatan di laut dengan menyediakan peralatan keselamatan dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kemaman, Leftenan (M) Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, langkah itu perlu lebih-lebih lagi dalam tempoh perubahan cuaca disebabkan musim Monsun Timur Laut ketika kini.

"Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan namun ada dalam kalangan nelayan kita terlepas pandang walaupun sering diingatkan. Sebelum turun ke laut, para nelayan perlu memaklumkan kepada waris atau persatuan nelayan terdekat.

"Kalau boleh elakkan ke laut seorang diri, bawa peralatan keselamatan dan pastikan bot sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Selain isu keselamatan, beliau berkata, nelayan juga diingatkan untuk tidak menangkap ikan terutama di kawasan radius 500 meter daripada pelantar minyak dan gas di negeri ini.

" Jika didapati bersalah boleh disabitkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) boleh didenda RM1,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Faisal berkata, Zon Maritim Kemaman turut menggiatkan Preventive SAR (Pencegahan CARILAMAT) dengan membuat rondaan dan pemantauan di jeti-jeti bot nelayan sekitar pantai daerah Kemaman dan Dungun bagi memberi peringatan serta kesedaran kepada komuniti maritim terutama nelayan.

"Program Preventive SAR adalah usaha Maritim Malaysia bagi mengekang dan mengurangkan kadar kemalangan di laut terutamanya pada musim Monsun Timur Laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Muhamad Faisal mewakili Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Rashidihadi Abd. Rashid hadir pada Program Sembang Teh Tarik dan Preventive SAR Kemaman bersama 30 komuniti nelayan pada Khamis.

Beliau berkata, aktiviti tahunan itu antara lain mewujudkan hubungan erat bersama komuniti maritim selain memberi fokus kesedaran mengenai keselamatan di laut.

"Melalui program ini para nelayan dapat memahami bidang tugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Selain tugas menguatkuasakan undang-undang, tugas mencari dan menyelamat (SAR) adalah salah satu tugas utama agensi," ujarnya.