Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

PPS Kampung Juntai, Simpang Durian,Jelebu dibuka pada malam Sabtu. -Foto ihsan APM Jelebu
PPS Kampung Juntai, Simpang Durian,Jelebu dibuka pada malam Sabtu. -Foto ihsan APM Jelebu
A
A
A

SEREMBAN- Sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Sembilan dibuka setakat ini bagi menempatkan 358 mangsa yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat sejak malam Jumaat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, terdapat lima daerah terkesan dengan bencana Monsun Timur Laut iaitu Seremban, Port Dickson,Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

" Sebelum ini lima buah PPS dibuka dengan satu daripadanya telah ditutup pada Sabtu iaitu di Tampin di Surau Kampung Keru Hilir yang menempatkan 36 mangsa dengan 10 keluarga.

" Bagaimana pun berlaku pertambahan pembukaan PPS menjadikan jumlah keseluruhannya sembilan PPS," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya, sehingga kini PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siliau, Seremban ; empat PPS di Port Dickson ( SK Jimah lama, Balai Raya Permatang Pasir, Balai Raya Kampung Linggi, Balai Raya Kampung dan Pengkalan Durian); dua PPS di Rembau ( Masjid Lubok China dan Surau Nerabai); satu PPS masing-masing di Kuala Pilah ( Dewan Desa Dangi), dan Jelebu ( Balai Raya Kampung Juntai).

" Ia melibatkan seramai 74 buah keluarga dengan 358 orang mangsa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata,selain banjir terdapat lima kejadian lain turut dilaporkan susulan keadaan cuaca ketika ini iaitu di Jalan Sendayan-Jimah Port Dickson (jalan runtuh); Jalan Sungai Gadut (tanah runtuh); Breakwater runtuh di Port Dickson; dua warga negara Mynmar dikhuatiri lemas di pantai Teluk Kemang, Port Dickson dan tanah runtuh di Jalan Bukit Tangga menghala Jelebu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak malam Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di lima daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Lima daerah berkenaan iaitu Seremban, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.