Banjir: Penduduk tiga kampung masih terkandas

Keadaan rumah penduduk di Kampung Bukit Lanchung yang dilanda banjir berikutan limpahan Sungai Klang pada Sabtu.
Keadaan rumah penduduk di Kampung Bukit Lanchung yang dilanda banjir berikutan limpahan Sungai Klang pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Masjid Al-Faizin Seksyen 28 sedang menggerakkan usaha membantu penduduk di tiga kampung terkandas berikutan limpahan air dari Sungai Klang sejak petang Sabtu.

Imamnya, Muhammad Hafizuddin Mat Yusuf berkata, tiga kampung terjejas teruk dan terputus hubungan itu ialah di Kampung Bukit Lanchung, Kampung Tengah dan Kampung Lanchung Jaya.

Menurutnya, ketika ini usaha mengeluarkan penduduk terkandas giat dijalankan pihak berkuasa bagi menyelamatkan mangsa banjir di kawasan terlibat.

"Saya dimaklumkan keadaan bertambah teruk di dua kampung iaitu di Kampung Bukit Lanchung dan Kampung Tengah yang mana ada dalam kalangan mereka terpaksa mencari tempat lebih selamat dan tinggi seperti menara elektrik.

"Kita bimbang keselamatan penduduk terutama ibu mengandung, bayi dan warga emas ini yang memerlukan bantuan untuk keluar daripada penempatan dan berlindung ke tempat lebih selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Muhammad Hafizuddin berkata, selain memohon bantuan aset kerajaan seperti bot pihaknya juga meminta bantuan individu lain untuk menyelamatkan penduduk di tiga kampung terbabit.

"Pada masa ini hanya bot sahaja boleh membawa penduduk ini keluar memandangkan lori milik agensi kerajaan juga ada terkandas di sana," katanya.

Jelasnya, jarak antara dua kampung terbabit ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Al-Faizin Seksyen 28 dan Dewan Kenanga sekitar tujuh hingga lapan kilometer," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Hafizuddin, seramai 30 keluarga lagi di Kampung Lanchung Jaya ketika ini terperangkap di surau kampung terbabit.

"Kita telah memindahkan penduduk di Kampung Lanchung Jaya sejak jam 11 pagi tadi (Sabtu) dan sebahagian besar mereka telah berjaya dikeluarkan.

"Namun, usaha mengeluarkan 30 keluarga lagi masih kami usahakan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat," katanya.

Ujarnya, keadaan banjir melanda tiga kampung itu ketika ini sangat kritikal dan memerlukan bantuan daripada semua pihak.

"Kita berharap semua mangsa di tiga kampung ini dapat dikeluarkan dan dipindahkan di PPS dengan kadar segera berikutan keadaan hujan berterusan," jelasnya.