Malaysia hantar lebih ramai pelajar ke Korea Selatan

Tun Dr Mahathir (kanan) bersama Presiden Korea Selatan Moon Jae-in ketika sidang media di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir (kanan) bersama Presiden Korea Selatan Moon Jae-in ketika sidang media di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia berminat untuk terus menghantar pelajar ke Korea Selatan terutama dalam bidang-bidang kejuruteraan, teknologi maklumat (IT) dan teknologi-teknologi baharu supaya Malaysia dapat mencontohi kemajuan yang dicapai oleh negara itu, kata Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in yang sedang melawat negara ini memaklumkan kepada beliau bahawa negara itu memulakan proses perindustriannya dengan membina kereta, sama seperti Malaysia.

"Lihatlah di mana mereka sekarang. Kami sememangnya amat kagum.

"Kami juga bermula dengan kereta tetapi ia tidak sebaik buatan Korea," katanya pada sidang media bersama Presiden Moon di Perdana Putra, di sini selepas pertemuan antara kedua-dua pemimpin sebelum itu.

Dr Mahathir berkata, terdapat ruang untuk mengadakan kerjasama dalam banyak bidang antara kedua-dua negara, ekoran perlanjutan Dasar Pandang Ke Timur.

Memandangkan Malaysia dan Korea Selatan akan sama-sama meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara mereka pada tahun depan, Dr Mahathir berkata, pemimpin dari kedua-dua negara mendapati bahawa kedua-dua negara mempunyai persamaan pandangan pada mesyuarat-mesyuarat antarabangsa.

Malaysia, kata beliau juga berharap hubungan antara Korea Selatan dan jirannya Korea Utara akan bertambah baik dalam beberapa tahun akan datang.

"Kami berharap persetujuan akan dapat dicapai antara Korea Utara dan Amerika Syarikat mengenai perlucutan senjata.

Artikel Berkaitan:

“Kita menjangka kemudiannya kita akan dapat melihat keamanan dan kestabilan di bahagian dunia sebelah sini,’’ kata beliau.

Dr Mahathir berkata, dalam pertemuan empat mata mereka, mereka juga telah berbincang mengenai produk Halal di mana Korea Selatan berminat untuk memastikan produk keluaran mereka memenuhi syarat-syarat pensijilan Halal.

Terdahulu, Dr Mahathir dan Presiden Moon hadir ke majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama industri berkaitan dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Revolusi Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan dan pembangunan Bandar Pintar (Smart City) di Malaysia, selain kerjasama dalam industri halal.

Presiden Moon tiba di sini semalam untuk lawatan negara tiga hari ke Malaysia. - Bernama