Kempen Ali Biju menjadi, Friday menang majoriti 932 undi di Krian

Ali Biju. - Foto Bernama
Ali Biju. - Foto Bernama
A
A
A

SARATOK - Percaturan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meminta Datuk Ali Biju memberikan komitmen untuk membantu memenangkan calon gabungan politik itu, Friday Belik, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian selepas Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli tersebut menarik balik pencalonannya ternyata membuahkan hasil.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Friday menewaskan pencabar terdekatnya, Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan majoriti 932 undi.

"Friday Belik daripada GPS mendapat 3,885 undi " kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Krian Bilong Engkas, yang merupakan Pemangku Setiausaha Majis Daerah Saratok di Dewan Sri Krian di sini malam Sabtu.

Musa mendapat 2,953 undi manakala calon Bebas Datuk Ali Biju, yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding dan meminta penyokongnya tidak memangkah beliau bagaimanapun memperoleh 1,777 undi manakala Danny Kuan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) pula memperoleh 282 undi.

Sebelum ini, Ali membuat kejutan pada hari penamaan calon 6 Disember lepas apabila bertanding sebagai calon Bebas, yang disifatkan bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu tidak mengambil bahagian pada PRN itu sekali gus menyokong penuh calon GPS.

Penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal itu kemudian mengumumkan menarik diri bagi memelihara muafakat dan persefahaman antara GPS dengan Perikatan Nasional dan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak tersebut telah diminta memberi penerangan mengenai situasi sebenar kepada pengundi agar memilih Friday malah turut membantu kempen calon GPS itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: