Rusia tuntut jaminan keselamatan

Ryabkov mendakwa hubungan Rusia bersama AS dan NATO telah mencapai 'titik paling bahaya'. - Foto Agensi
Ryabkov mendakwa hubungan Rusia bersama AS dan NATO telah mencapai 'titik paling bahaya'. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Rusia buat pertama kalinya mengemukakan senarai tuntutan jaminan keselamatan kepada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk meredakan konflik dengan Ukraine.

Moscow pada Jumaat menyifatkan draf dokumen itu sebagai syarat penting untuk mengelakkan ketegangan di Eropah menjadi lebih buruk setelah ia dilaporkan bersiap siaga mahu melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Kiev hingga mencetuskan kebimbangan Barat jika Perang Dunia Ketiga bakal meletus.

Di bawah senarai tuntutan itu, Rusia turut menggesa rundingan segera diadakan bersama AS malah cadangan itu disambut baik oleh Washington walaupun ia tidak bersetuju terhadap beberapa 'syarat' yang dikemukakan Kremlin.

Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov berkata, Moscow sentiasa terbuka untuk mengadakan sesi dialong keselamatan bersama Washington dalam masa terdekat.

Sebagai respons, Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan memaklumkan Washington secara asasnya juga bersedia dengan proses rundingan tersebut yang akan diselaraskan secara rapat bersama sekutu Eropah.

"Ketika ini, Rusia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap aktiviti Amerika dan NATO. Kami juga akan menzahirkan perkara sama terhadap aktiviti Moscow yang mengancam kepentingaan kami. Ia adalah asas timbal balik untuk memulakan sebarang sesi dialog.

"Jika berlaku pencerobohan terhadap Ukraine, Rusia akan menanggung akibat yang sangat dahsyat," ujarnya.

Amaran keras itu dikeluarkan selepas Moscow menuntut jaminan terikat secara sah bahawa pakatan NATO disertai 30 negara anggota akan menamatkan segala aktiviti ketenteraan di Eropah Timur dan Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Di bawah tuntutan itu, ia turut meminta NATO menolak keanggotaan Ukraine dan negara bekas Kesatuan Soviet lain dalam pakatan tersebut selain melarang AS mengerahkan kapal perang atau jet pejuang ke kawasan yang berpotensi mencetuskan serangan dan sebarang latihan ketenteraan berhampiran sempadan Rusia.

Sebelum ini, maklumat risikan AS mendakwa Rusia telah mengerahkan kira-kira 70,000 anggota tentera mereka ke kawasan bersempadan Ukraine untuk operasi ketenteraan yang bakal dilancarkan pada awal tahun depan, namun Moscow menafikan dakwaan tersebut. - Agensi