Sembilan daerah Selangor berisiko banjir hingga Mac

Kawasan Meru antara terjejas teruk akibat banjir. - Foto Facebook
Kawasan Meru antara terjejas teruk akibat banjir. - Foto Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Sembilan daerah di Selangor berdepan risiko banjir hingga Mac depan berdasarkan ramalan purata taburan hujan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Unit Pengurusan Bencana, Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, taburan hujan diramalkan antara 250 hingga 370 milimeter (mm) pada November, Disember (200mm – 300mm), Januari (150mm –230mm), Februari (140mm – 210mm) dan Mac (200mm – 300mm).

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri menasihatkan penduduk di kawasan berisiko untuk membuat persediaan dan mematuhi arahan pasukan keselamatan dari semasa ke semasa.

Tambah kenyataan itu, kerajaan negeri mengarahkan agensi terlibat mengambil langkah siap siaga menghadapi bencana seperti banjir, tanah runtuh dan ribut.

"Semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pihak berkuasa keselamatan dan pihak berkuasa tempatan diminta melakukan persediaan awal bagi menghadapi bencana sepanjang tempoh monsun timur laut," menurut kenyataan itu, pada Sabtu.

Menerusi kenyataan tersebut dikongsikan lokasi hotspot berisiko banjir dan banjir kilat melibatkan 23 kawasan di daerah Petaling, Klang (26), Sepang (17), Gombak (21), Hulu Langat (32), Kuala Selangor (18), Kuala Langat (7), Hulu Selangor (4) serta Sabak Bernam (2).

Antara kawasan dalam Petaling Jaya termasuk Kampung Paya Jaras, Kampung Cempaka, Kampung Sri Aman, Kampung Tengah, Kampung Budiman, Taman Mesra, Kampung Melayu Subang, Kampung Sri Aman Bestari, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Kubu Gajah dan lain-lain.

Di Klang pula Taman Sentosa, Taman Sri Muda, Kampung Johan Setia, Jalan Kebun, Kampung Jalan Benteng, Kampung Jawa, Kampung Bukit Naga, kawasan tol Sungai Rasau, Bukit Kemuning, Bandar Puteri dan lain-lain.

Artikel Berkaitan: