'Hanya Pas, parti lain 'no way'

Datuk Musa Sheikh Fadzir
Datuk Musa Sheikh Fadzir
A
A
A

SEBERANG JAYA - "Hanya dengan Pas kita boleh berkompromi, dengan orang lain, 'no way'," tegas Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Musa berkata, UMNO negeri itu tidak mahu memutuskan hubungan dengan Pas dan akan terus setia dengan Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya tegaskan di sini, UMNO Pulau Pinang mahu MN. Kita tidak pernah memutuskan silaturahim dengan Pas.

"Jika bercakap soal piagam dalam Muafakat Nasional, UMNO dan Pas akan bersatu untuk pilihan raya. Ketika itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak duduk dengan kita pun, mereka bersama Pakatan Harapan (PH)," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini pada Sabtu.

Musa menambah, beliau akan berjumpa dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff untuk perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut termasuk pengagihan kerusi pada PRU15.

"Sebelum ini memang ada perbincangan dengan Pas dan mereka menunjukkan maklum balas positif. Itu (perbincangan) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Sekarang ini, tak tahu lah. Saya juga sudah cakap dalam MKT tetapi Pas bersetuju atau tidak, itu terpulang.

"Bagaimanapun keputusan semuanya bergantung kepada pucuk pimpinan tetapi di Pulau Pinang kita mahu Pas sebab di sini Melayu ada 30 peratus lebih sahaja, sebab itu penting kerjasama dalam MN," katanya.

Dalam pada itu, Musa turut menegaskan bahawa UMNO Pulau Pinang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, malah akan meletakkan kerusi di kawasan yang ditandingi parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya depan adalah muktamad. Di mana Bersatu bertanding, kita akan lawan. Usul tahun lalu itu, kita akan kekalkan pada tahun ini.

"Sama juga dengan Parti Gerakan, kita tidak akan bekerjasama dengan mereka. Kita akan kekal bertanding di semua kerusi sebelum ini tetapi yang mana dulu lompat parti, saya tak bagi dah seperti Tasek Gelugor.

Sebelum ini, UMNO Pulau Pinang berpendirian akan tetap bekerjasama dengan Pas dalam PRU15.

Katanya, sokongan itu bermula dari ahli akar umbi kedua-dua parti terbabit.