X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

UMNO yakin PM ikut ketetapan parti bubar Parlimen

Ahmad Zahid berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk pada Sabtu.
A
A

BAGAN DATUK - UMNO yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengikut ketetapan parti untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan sentimen akar umbi, majoriti sayap-sayap Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat bahagian mahukan supaya PRU15 diadakan lebih awal.

Beliau berkata, sebanyak 176 daripada 191 Pemuda UMNO bahagian bersetuju dengan usul supaya PRU15 diadakan lebih awal, begitu juga dengan Puteri UMNO bahagian dengan 171 bersetuju dengan usul tersebut.

"Parti tidak boleh membuat keputusan yang menyebabkan Yang di-Pertuan Agong memutuskan Parlimen dibubarkan atau pemerintahan sedia ada diteruskan. Keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat daripada Perdana Menteri.

"Oleh kerana Perdana Menteri datang daripada UMNO, tentu Perdana Menteri akan melihat bagaimana keputusan parti. Tentu keputusan yang terbaik dibuat berdasarkan perbincangan pemimpin utama parti dan usul-usul daripada sayap dan bahagian-bahagian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, penangguhan PRU15 terlalu lewat akan menyukarkan UMNO untuk menangani pelbagai tuduhan dan fitnah yang direka parti lawan seperti berlaku pada PRU14.

Sementara itu, beliau berkata, pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi UMNO akan meneliti semua usul-usul dikemukakan UMNO bahagian terutama berkaitan usul mengadakan pilihan raya lebih awal serta pemilihan parti.

"Ibu Pejabat UMNO akan meneliti berapa yang mahukan pilihan raya awal, berapa yang mahukan pemilihan awal. Kita tidak boleh membuat kesimpulan pada hari ini kerana mesyuarat belum tamat lagi.

"Semua usul-usul ini akan dikumpulkan sebelum ia dibentangkan kepada lima pemimpin utama parti untuk kita membentangkan kepada Majlis Tertinggi sebelum membuat keputusan," jelas beliau.

Tambah Ahmad Zahid, paling penting adalah apa juga keputusan dibuat mesti menghormati antara satu sama lain serta merapatkan kembali barisan walaupun berbeza pandangan ketika mesyuarat perwakilan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!