Isteri maut, suami parah nahas empat kenderaan

Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Puncak Alam menghala ke Kampung Budiman pada Rabu. (Gambar kecil: Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit.)
Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Puncak Alam menghala ke Kampung Budiman pada Rabu. (Gambar kecil: Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit.)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Puncak Alam ke Kampung Budiman di sini pada Rabu.

Pasangan suami isteri itu dipercayai menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Savvy dalam kemalangan kira-kira jam 10 pagi itu membabitkan sebuah lagi kereta, kenderaan pacuan empat roda dan lori.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.08 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 10.20 pagi.

"Kemalangan melibatkan empat kenderaan membabitkan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang, lori tiga tan dan Proton Persona masing-masing dipandu seorang lelaki," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, Isuzu D-Max yang dinaiki tiga lelaki itu dipercayai dalam perjalanan ke Shah Alam sebelum melanggar bahagian belakang lori tiga tan.

"Pacuan empat roda itu kemudiannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Persona dan Proton Savvy.

"Kedua pasangan warga emas iaitu pemandu Proton Savvy dikenali sebagai Abdul Rashid Md Nor, 74, mengalami kecederaan akibat tersepit manakala isterinya Aliah Jaafar, 67, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Morni berkata, pemandu dan penumpang tiga lagi kenderaan terlibat mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kemalangan mengakibatkan seorang wanita warga emas maut dipercayai berpunca akibat sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa bersama suaminya dalam kejadian di Jalan Persiaran Mokthar Dahari.

Berdasarkan siasatan katanya, pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dipandu seorang lelaki berumur 26 tahun itu dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah lori sebelum mengakibatkan pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Proton Savvy.

"Dalam masa sama sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang berada di belakang Proton Savvy tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi pacuan empat roda tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697," katanya.