JPN Selangor diminta beri perhatian kebajikan keluarga Damiya - Fadhlina

Derma Damiya' Nur Mikayla Mior Shahrizal meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di sekolah.
Derma Damiya' Nur Mikayla Mior Shahrizal meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor diminta memastikan kebajikan keluarga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, Derma Damiya' Nur Mikayla Mior Shahrizal, 7, yang meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di sekolah diberikan perhatian sewajarnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, hatinya cukup tersentuh apabila dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa adik Damiya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, adik Damiya mengalami kesukaran bernafas dan dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah.

"Saya amat berdukacita menerima perkhabaran pemergian adik Damiya dan turut meminta JPN Selangor memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kejadian ini.

"Tidak dapat membayangkan betapa beratnya kehilangan ini buat kedua-dua ibu bapa dan seluruh keluarga.

"Tiada kata yang mampu mengubat kesedihan apabila anakanda yang disayangi pergi buat selama-lamanya," ujarnya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, seorang murid perempuan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di sini sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam, Isnin.

Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan.

Tambah Fadhlina, para guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum adik Damiya dibawa ke Hospital Putrajaya, namun akhirnya disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

"Ingatan dan doa saya bersama keluarga adik Damiya. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!