'Kita perlu menang dengan apa cara sekali pun'

Mickey (kiri) ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain.
Mickey (kiri) ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain.
A
A
A

PENYERANG Harimau Malaya, Faisal Halim tidak mahu menjadikan perlawanan menentang Indonesia di Stadium Nasional Singapura pada Ahad sebagai aksi terakhir skuad negara pada saingan Piala Suzuki AFF 2020.

Sebaliknya menurut Faisal yang lebih dikenali sebagai 'Mickey', mahu memastikan skuad negara mencatatkan kemenangan ke atas skuad Garuda itu seterusnya mengesahkan slot ke separuh akhir.

"Saya tak nak anggap ini adalah perlawanan yang terakhir buat saya dan juga rakan-rakan sudahlah saya terlepas tiga perlawanan sebelum ini.

"Sia-sia saya datang hampir sebulan tinggalkan isteri, anak, keluarga hanya bermain untuk satu perlawanan dan pulang. Itu adalah tidak berbaloi bagi saya dan rakan-rakan.

“Aksi menentang Indonesia ini sangat penting dan kita perlu menang dengan apa cara sekali pun untuk layak ke separuh akhir. Yang penting, kerjasama berpasukan dan fokus kepada game plan direncanakan jurulatih, insya-ALLAH, kita boleh mencatatkan kemenangan,” katanya semasa sidang media dalam talian pada Jumaat.

Untuk rekod, setelah mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan dan menewaskan Laos 4-0 pada dua aksi awal, skuad negara tersentak akibat kekalahan 0-3 kepada Vietnam minggu lalu.

Justeru, skuad negara tidak memiliki pilihan selain menang ke atas Indonesia bagi mengesahkan slot ke separuh akhir pada edisi kali ini.

Setelah tiga perlawanan, Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga dengan enam mata berbanding Indonesia dan Vietnam yang masing-masing meraih tujuh mata dan hanya memerlukan seri pada perlawanan terakhir masing-masing untuk mara ke separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Faisal berharap agar rakan-rakan sepasukan tidak terlalu memikirkan bagaimana Indonesia akan beraksi (bertahan atau menyerang), pada perlawanan berkenaan.

Sebaliknya kata Faisal, kesemua pemain perlu memberikan fokus kepada pasukan sendiri terlebih dahulu, terutamanya memikirkan bagaimana untuk mencatatkan kemenangan ketika berdepan skuad Garuda.

“Bagi saya, jangan fikir macam mana mereka main bertahan atau menyerang yang penting fokus kepada pasukan kita kerana itu lebih penting,” katanya.