Kejuaraan Asia: Dua pemain negara lolos separuh akhir

Ng Eain Yow
Ng Eain Yow
A
A
A

DUA pemain skuasy negara Ng Eain Yow dan Rachel Arnold menghidupkan impian untuk mara ke perlawanan akhir selepas berjaya ke separuh akhir Kejuaraan Individu Asia 2021 di Islamabad, Pakistan.

Ng Eain Yow membuktikan statusnya sebagai pemain skuasy lelaki utama negara apabila menewaskan rakan senegara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal, 11-6, 11-3, 11-5.

Berstatus sebagai pilihan utama Eain Yow akan bertemu Lau Tsz Kwan dari Hong Kong yang mengalahkan bintang sensasi Pakistan, Tayyab Aslam 5-11, 9-11, 11-5, 11-3, 13-11.

Sementara itu seorang lagi pemain Malaysia, Ivan Yuen pula gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Yip Tsz Fung dari Hong Kong, 11-7, 11-4, 11-5.

Dalam pada itu, Rachel adalah satu-satunya wakil pemain wanita Malaysia yang terselamat ketika berhadapan pemain Hong Kong setelah juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Chan Yiwei tewas kepada lawan masing-masing.

Pemain nombor 39 dunia, Rachel mengalahkan Chan Sin Yuk, 11-7,11-9, 11-7 untuk bertemu Ho Tze Lok yang mengalahkan Yiwei, 11-5,14-12, 11-9.

Tong Tsz Wing, yang memenangi dua set pertama, berjaya menangani kebangkitan Aifa pada set ketiga dan keempat sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi kemenangan mendebarkan 11-5, 11-9, 8-11, 3-11, 12-10 manakala pilihan utama Liu Tsz Ling menundukkan Noor Ainaa 11-9, 5-11,12-10, 11-6.

Artikel Berkaitan: