Penoreh getah cedera ditembak

No Image Caption
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang penoreh getah cedera di bahagian muka, mata, badan, paru-paru dan kaki selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang sedang mencari madu lebah di Bukit Kechik di sini semalam.

Mangsa Zulkifli Awang Hamat, 62, bagaimanapun stabil dan dalam keadaan separuh sedar dan kini dirawat di wad Hospital Tanah Merah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa keluar menoreh bersama isterinya berasingan dengan motosikal masing-masing.

Ketika sampai di kawasan kebun getah, mangsa dan isteri melakukan pekerjaan menoreh dalam jarak 500 meter.

Isteri mangsa ada terdengar bunyi letupan kuat dari jarak terbabit dan didatangi jirannya yang menyuruh dia pulang ke rumah segera.

Ekoran itu, isteri mangsa pulang segera dan apabila sampai di rumah, dia terkejut melihat suaminya mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

Mangsa dibantu pencari madu lebah itu dan kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa terkena tembakan dipercayai pemburu yang sedang mencari madu lebah dan melepaskan tembakan ke arah seekor ular tedung yang kebetulan lalu di hadapannya.

Namun dia tidak menyangka tembakan itu terkena mangsa yang berada dalam jarak 70 meter dari kawasan itu.

"Lelaki turut membantu mangsa terbabit dan telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah dan serah diri serta turut membawa senapang automatik jenis Bore, tujuh butir peluru hidup dan lesen senjata api.

"Kita siasat kes ini di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (melepaskan tembakan bukan di suatu tempat yang dibenarkan) dan Seksyen 338 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera parah dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain)," katanya.