17 mangsa banjir di Kuala Balah berjaya diselamatkan

Operasi menyelamat di Kampung Baru Kuala Balah menggunakan bot bomba dan polis.
Operasi menyelamat di Kampung Baru Kuala Balah menggunakan bot bomba dan polis.
A
A
A

JELI - Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jeli berjaya menyelamatkan 17 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Baru Kuala Balah di sini apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air pada pagi Jumaat.

Ketuanya, Mohd Adni Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, pihaknya menerima panggilan mengatakan ada lima keluarga yang terperangkap di kampung berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang terlibat membabitkan sembilan dewasa dan lapan orang kanak-kanak.

"Seramai 10 anggota dengan bantuan dari empat anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Balah dan dua dari PBS Jeli digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat dan bot polis ke tempat selamat sebelum dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kuala Balah di Sekolah Kebangsaan Kuala Balah," katanya.

Justeru, Mohd Adni berharap orang ramai dapat melakukan pemindahan awal sebagaimana dinasihatkan agensi-agensi yang terlibat bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

Artikel Berkaitan: