Komando 69 cadang rekrut wanita untuk tugas penyamaran

Sebahagian anggota Komando Vat 69 sedang membuat persiapan untuk memakai payung terjun sebelum membuat terjunan.
Sebahagian anggota Komando Vat 69 sedang membuat persiapan untuk memakai payung terjun sebelum membuat terjunan.
A
A
A
TAIPING - Pasukan elit Polis Komando 69 bercadang untuk menyerapkan lebih anggota polis wanita ke unit Komando 69 bagi tugas penyamaran.

Komandan Komando 69, Senior Komisioner Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, cadangan itu kerana tugas polis makin berubah dari hutan ke bandar dan amatlah sesuai wanita digandingkan dengan anggota lelaki ditugaskan ke dalam unit ini.

Selain itu, pihaknya juga bercadang untuk membuat pengambilan sendiri bagi melatih anggota bagi menganggotai pasukan ini berbanding dengan pengambilan dibuat oleh pasukan polis sekarang.

Menurutnya, anggota diambil itu boleh dilatih bagi mempelajari kawad dan undang-undang di di Pusat Laithan Polis (Pulapol) manakala latihan lain akan dirangka sendiri pihaknya.

“Ini membolehkan kita sendiri memilih anggota yang benar-benar layak menganggotai pasukan elit ini.

Sebahagian anggota polis melakukan terjunan payung terjun menerusi program Latihan Taktikal Payung Terjun Siri 1/2019 di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, hari ini. (Gambar kecil: Abdul Razak)
Sebahagian anggota polis melakukan terjunan payung terjun menerusi program Latihan Taktikal Payung Terjun Siri 1/2019 di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, hari ini. (Gambar kecil: Abdul Razak)

"Alhamdulillah seramai 10 anggota polis wanita menyertai Latihan Taktikal Payung Terjun Siri 1/2019 di sini pada hari ini dan kita berharap lebih ramai anggota dari golongan itu untuk diserap masuk ke dalam pasukan elit polis Komando 69," katanya dalam sidang akhbar selepas program Latihan Taktikal Payung Terjun Siri 1/2019 di Lapangan Terbang Tekah di sini, hari ini.

Seramai 33 anggota termasuk 10 wanita dari PDRM dan 23 dari Komando 69 menyertai latihan asas terjunan sejak 11 Mac hingga 20 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak turut menggesa anggotanya meningkatkan pembelajaran asas termasuk kemahiran terjunan payung asas sebelum meneruskan terjunam payung para bebas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, latihan berterusan amat penting bagi membolehkan mereka mahir dalam terjunan asas dan bebas sebelum dihantar bertugas di kawasan ditetapkan.

Selain itu, beliau menegaskan anggota komando perlu membuat penerjunan 1,200 kaki hingga 2,000 kaki di peringkat awal sebelum membuat terjunan pada ketinggian sehingga 30,000 kaki bagi sesuatu operasi.

“Bagaimanapun, latihan terjunan asas ini adalah pendedahan peringkat awal dengan membuat terjunan sebanyak enam kali dengan empat kali terjunan dan dua terjunan membawa peralatan untuk melayakkan mereka mendapat sayap terjunan.

Inspektor Lim Siok Shan
Inspektor Lim Siok Shan

“Kita menggalakkan mereka menimba kemahiran terjunan yang lebih tinggi sehingga 30,000 kaki pada jarak 24 hingga 25 km bagi mengelak ia dikesan radar dan musuh terutama ketika operasi pada waktu malam dan di mana-mana sahaja secara taktikal,” katanya.

Sementara itu seorang anggota Inspektor wanita dari Johor, Lim Sok Shan,28, berkata, latihan ini agak mencabar dan beliau mengakui agak gementar semasa mahu membuat terjunan pada pertama kali.

"Setelah membuat terjunan awal dan perasaan gementar telah dapati diatasi dan saya akan menamatkan terjunan sebanyak enam kali,” katanya.

Menurut Konstabel Nurol Ashida Arshad, 23, dia pada mulanya agak gayat membuat terjunan kali pertama.

"Setelah membuat beberapa terjunan masalah itu tidak ada lagi dan saya dapat membuat tiga kali terjunan dengan baik sehingga sekarang,” katanya.