Pemuda Pas Terengganu mahu perkukuh MN, pertahan PN

Mohd Harun Esa
Mohd Harun Esa
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu sebulat suara menyokong usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) sebagaimana hasrat Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemudanya, Mohd Harun Esa berkata, ia merupakan fokus utama yang ditekankan dalam perbincangan hala tuju parti bagi tempoh setahun akan datang.

"Mesyuarat kali ini membincangkan beberapa fokus utama yang ingin dibawa Pemuda Pas Terengganu bagi sesi kali ini antaranya bagaimana untuk terus memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN.

"Pemuda Pas Terengganu menyatakan komitmen dalam memastikan perpaduan ummah terus berlaku dengan penyertaan kesemua parti Melayu Islam yang dominan dalam negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Pemuda Pas Terengganu akan terus menyeru seluruh parti Melayu Islam dalam negara untuk bersatu dengan ikhlas dan penuh integriti.

"Isu integriti dan kepentingan individual yang berlaku dalam kalangan pemimpin di negara ini menjadi halangan terbesar terhadap penyatuan ummah.

"Justeru, kita terus mendesak pihak berkuasa dan pemimpin tertinggi dalam negara untuk terus bertegas dalam mengambil tindakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Harun berkata, mesyuarat yang diadakan itu turut menyatakan sokongan terhadap penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun selain menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob serta barisan kabinet yang dibentuk.

Artikel Berkaitan: