Pemulihan bekalan air capai tahap 92 peratus

Info grafik status terkini pemulihan bekalan air di lima kawasan yang mengalami gangguan pada Khamis.
Info grafik status terkini pemulihan bekalan air di lima kawasan yang mengalami gangguan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemulihan bekalan air di 463 kawasan terjejas mencapai tahap 92 peratus setakat jam 12 tengah hari Jumaat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Menurut kenyataan itu, bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11.30 malam Jumaat.

"Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan," kata kenyataan itu menerusi kenyataan di Facebook Air Selangor pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, status pemulihan kawasan yang terjejas boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," kata kenyataan itu.

Menerusi info grafik dikongsi Air Selangor menunjukkan kawasan Hulu Langat mencatatkan pemulihan 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Putrajaya (95.7 peratus), Sepang (91.2 peratus), Petaling (90.1 peratus) dan Kuala Langat (80 peratus).

Air Selangor sebelum ini memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan.