Pencapaian terhebat Verstappen

Verstappen. - Foto EPA
Verstappen. - Foto EPA
A
A
A

PEMANDU Red Bull Max Verstappen menyifatkan kejayaannya muncul juara Grand Prix Formula 1 musim ini sebagai satu pencapaian terhebat dalam hidupnya.

Malah menurut pelumba berusia 24 tahun itu, dia berazam untuk ‘bertarung’ sekali lagi dengan juara tujuh kali, Lewis Hamilton pada musim akan datang.

“Saya cukup gembira dengan kejayaan ini. Matlamat hidup saya kini telah tercapai. Secara keseluruhannya, ia cukup membanggakan.

“Selepas ini, apa juga yang tiba kepada saya dianggap sebagai bonus dan sudah tentu saya akan terus berusaha keras untuk terus berlumba dalam saingan F1 pada masa hadapan.

“Apa pun, saya mengakui musim ini adalah merupakan musim yang sungguh mencabar di mana saya telah bersaing hebat dengan Lewis iaitu salah seorang pelumba terhebat dunia,” katanya.

Untuk rekod, Verstappen melakar kejayaan apabila memintas Lewis di selekoh terakhir pada perlumbaan di Abu Dhabi bagi mengesahkan kejuaraan musim ini.

Kejayaan Verstappen itu ibarat mengulangi sejarah yang menyaksikan Hamilton menewaskan pelumba Ferrari Felipe Massa pada musim 2008 lalu untuk mencatat kejuaraan pertamanya.

Mengulas lanjut, Verstappen berkata, dia tidak sabar untuk mengharungi saingan musim baharu kelak dan berlumba sekali lagi dengan Hamilton.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia yakin Hamilton akan kembali bersaing musim depan dan berusaha untuk merebut kembali kejuaraan F1 yang terlepas daripasa genggamannya musim ini.

“Saya faham, dalam tempoh beberapa hari, mungkin Hamilton tidak berasa gembira, tetapi anda juga perlu faham bahawa ini adalah dunia perlumbaan.

“Dia (Hamilton) akan kembali bagi mencatatkan kejayaan kelapan dan berkemungkinan ia akan dilaksanakan pada 2022 kelak kerana saya tidak melihat sebarang alasan untuknya menyerah kalah kali ini,” katanya.