LUAS lapor polis berhubung pencemaran bau di LRA

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 di sini berhubung pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada Khamis.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal Selain Islam negeri, Hee Loy Sian berkata, Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 juga telah dikeluarkan kepada premis berkaitan bagi pembersihan lokasi pencemaran serta-merta.

"Insiden ini adalah insiden yang berlainan daripada yang berlaku pada Rabu melibatkan pencemaran air berbuih di Kampung Rinching Tengah, Semenyih yang berjaya ditangani oleh LUAS sebelum ia menjejaskan operasi LRA," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, sebanyak 463 kawasan di lima daerah dijangka mengalami bekalan air tidak berjadual berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasi pada Khamis.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, penutupan LRA berkenaan selepas pihak Air Selangor mengesan berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, LUAS menerima maklumat daripada Air Selangor berkenaan pencemaran bau seakan diesel di muka sauk LRA Sungai Semenyih pada jam 8.45 pagi, Khamis.

Menurutnya, berikutan itu LUAS menjalankan siasatan berhampiran sebuah premis kilang menyelenggara jentera berat dan mendapati terdapat pelepasan efluen mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak disyaki mengalir masuk ke pembentung sebelum memasuki Sungai Semenyih.

Sehubungan itu, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan kawalan segera di tapak dalam tempoh kurang empat jam telah membolehkan LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pada jam 12.30 tengah hari ini (Khamis).

"LUAS juga menjalankan pemantauan statik bermula jam 2 petang pada Khamis di aliran pertemuan di Sungai Semenyih manakala pensampelan ujian bau dijalankan setiap satu jam dan menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah sifar (0) ton.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa masih diteruskan oleh pihak LUAS bersama agensi berkaitan," katanya.

Tambahnya, kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Sepang turut memaklumkan premis kilang yang menyelenggara jentera berat berkenaan akan disita manakala premis kilang yang menyimpan barangan besi akan dikompaun kerana kesalahan tidak memiliki lesen.