Bau diesel: 463 kawasan dijangka alami gangguan air hari ini

Air Selangor turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna terlibat. - Foto 123rf
Air Selangor turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna terlibat. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 463 kawasan di lima daerah dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasi pada Khamis.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, penutupan LRA berkenaan selepas pihak Air Selangor mengesan berlaku pencemaran bau diesel di Sungai Semenyih.

"Lima wilayah Air Selangor terbabit ialah Petaling melibatkan 172 kawasan, selain Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20) yang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Air Selangor turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna terlibat.

Menurutnya, sebanyak 81 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dan premis kritikal.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan: