'Arwah minat memancing, pantang diajak'

Anak dan ibu arwah menunjukkan gambar kenangan Muhamad Ridhwan yang lemas akibat bot dinaiki terbalik pada kedudukan 5.5 batu nautika barat daya jeti Tanjung Dawai pada Selasa.
Anak dan ibu arwah menunjukkan gambar kenangan Muhamad Ridhwan yang lemas akibat bot dinaiki terbalik pada kedudukan 5.5 batu nautika barat daya jeti Tanjung Dawai pada Selasa.
A
A
A

YAN - "Arwah memang minat memancing dan pantang diajak," demikian luahan Nooraini Ishak, 57, ibu mangsa lemas dalam kejadian bot terbalik di Tanjung Dawai dekat sini pada Selasa.

Menurut Nooraini, sebelum kejadian, arwah Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, yang menyediakan perkhidmatan servis penyaman udara tidak memberitahu mahu keluar memancing dan hanya mendiamkan diri pada pagi itu.

"Dia sempat bawa dua anaknya keluar makan dan ronda pada malam sebelum kejadian.

"Sebaik sahaja dapat panggilan telefon (rakan ajak memancing) arwah terus balik ke Kampung Titi Teras ambil peralatan memancing dan berpatah balik ke Sungai Petani sebelum bersiap sedia mahu keluar memancing keesokan pagi," katanya.

Nooraini ditemui semasa menerima Pembayaran Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan Exco Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad di rumah arwah Muhamad Ridhwan dekat Kampung Titi Teras di sini pada Khamis.

Menurutnya, Muhamad Ridhwan seorang yang bertanggungjawab dan penyayang, malah dua anak hasil perkahwinan dengan bekas isterinya iaitu Mohd Rafid Affandi, 15, dan Nor Intan Syazwani, 12, berada bawah jagaannya selepas berpisah beberapa tahun lalu.

Najmi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada bapa arwah Muhamad Ridhwan, Mokhtar Madun, 64, sambil disaksikan Mohamad Haron.
Najmi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada bapa arwah Muhamad Ridhwan, Mokhtar Madun, 64, sambil disaksikan Mohamad Haron.

"Dia tak pernah marahkan anak-anak, mereka rapat sebab itu anak-anak sayang sangat dekat dia.

"Kami tinggal bersama di Sungai Petani sebelum rumah arwah siap setahun lalu dan mereka bercadang berpindah ke sini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Seorang maut, lima selamat bot terbalik di Tanjung Dawai

Nooraini berkata, rumah arwah baharu sahaja siap dan belum sempat dibuat pembayaran ansuran yang sepatutnya dimulakan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Keluarga itu bagaimanapun merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak Perkeso yang hadir menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000.

Kedua-dua anak mangsa juga bakal menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM616.67 sebulan sehingga berumur 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Sementara itu, Najmi berkata, berdasarkan rekod, arwah merupakan pencarum Perkeso bermula tahun 2000 hingga Jun 2012 dengan empat buah syarikat sekitar Sungai Petani di mana majikan terakhir adalah Syarikat EUPE Golf Recreation & Tour Sdn Bhd.

Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman menjelaskan, mana-mana pekerja yang mencarum dalam tempoh tertentu mempunyai hak menerima manfaat jika berlaku sebarang bencana atau kemalangan.

"Walaupun arwah tidak mencarum bermula 2013 sehingga kini, namun dia ada rekod caruman, itulah kepentingan (caruman di Perkeso) di mana faedah yang diterima boleh meringankan beban keluarga ke atas anak-anak yang ditinggalkan," jelasnya.

Dalam kejadian Selasa lalu, Muhamad Ridhwan dilaporkan lemas manakala lima lagi pemancing terselamat setelah bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak pada kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai di sini.