Dalang insiden bot PATI karam di Tanjung Balau dikenal pasti

Mayat mangsa diangkat agensi penguat kuasa pada hari kedua operasi carilamat di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis.
Mayat mangsa diangkat agensi penguat kuasa pada hari kedua operasi carilamat di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Dalang dan sindiket dipercayai mempunyai kaitan serta bertanggungjawab membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam insiden bot karam di Tanjung Balau, di sini sudah dikenal pasti pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, perkara itu kini berada dalam siasatan polis selain pemantauan juga sedang dibuat.

“Untuk makluman, mengenai dalang atau sindiket yang membawa masuk PATI ini memang pihak polis telah mengenal pasti mereka dan tindakan lanjut sedang dibuat.

“Isu ini besar kerana ia melibatkan angka korban yang besar. Dalang dalam sindiket ini masih dalam siasatan, kita tidak boleh dedahkan (warga tempatan atau Indonesia) fakta secara sahih kerana masih dalam siasatan dan pemantauan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar bagi hari kedua operasi carilamat mangsa insiden bot karam di Tanjung Balau di sini pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah bot pancung yang membawa 60 PATI dari Lombok Indonesia karam akibat cuaca buruk pada jam 4.30 pagi, pada Rabu.

Simon Templer (dua,kiri) pada sidang akhbar hari kedua operasi carilamat mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis
Simon Templer (dua,kiri) pada sidang akhbar hari kedua operasi carilamat mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis

Simon Templer berkata, berhubung operasi carilamat hari kedua yang diadakan, pihaknya menemui lapan lagi mangsa terbaharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut seramai 19 orang.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa ditemui untuk hari kedua ini adalah terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita dewasa. Jumlah ini menjadikan seramai 33 mangsa telah ditemui dengan 14 daripadanya selamat dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kita percaya masih terdapat 17 lagi mangsa yang masih hilang dan usaha mengesan mereka akan terus dipergiat menerusi carian di laut dan udara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan kesemua 14 mangsa yang ditemui selamat pada operasi carilamat hari pertama pada Rabu juga dilaporkan negatif Covid-19.

“Kita dah buat ujian saringan dan hasilnya kesemua mereka negatif. Kita akan jalankan juga saringan ke atas mereka yang ditemui pada operasi carilamat hari kedua ini,” katanya.