Kerajaan arah bank bantu peminjam, tangguh tindakan undang-undang

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan meminta bank-bank untuk terus membantu peminjam yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar semua pinjaman dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang gagal membayar balik hutang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengalu-alukan usaha sektor perbankan yang terus menyokong dan membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan bagi penstrukturan semula pinjaman.

"Kerajaan mengambil maklum usaha sektor perbankan yang tidak terlalu cepat mengambil jalan mudah untuk terus meletakkan mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan di dalam senarai hitam peminjam atau senarai muflis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, peminjam yang masih memerlukan bantuan disarankan untuk segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian.

"Walaupun kadar muflis telah berkurangan sebanyak 50 peratus selepas sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu, namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

"Sehubungan itu, peminjam yang baharu atau masih sukar mendapat pekerjaan, terutamanya golongan B50, wajar disokong sebaik mungkin sehingga mereka mampu berdiri teguh semula bagi memastikan kelangsungan hidup," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

Beliau berkata, bagi menyokong peminjam dari golongan B50, industri perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

“Di bawah URUS, peminjam akan mendapat manfaat seperti pengecualian faedah atau keuntungan untuk tempoh tiga bulan dan penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun bagi membantu mengurus hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan peminjam.

“Selain itu, peminjam juga mendapat sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang untuk menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

Jelas Ismail Sabri, ini bagi memastikan bantuan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam yang memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi.

"Kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 dan kehilangan pekerjaan atau pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik," katanya.

Menurutnya, syarat-syarat lain adalah pinjaman atau pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September 2021 dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar.

“Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022.

"Selain daripada program URUS, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka," katanya.

Bagi pengusaha mikro pula, Ismail Sabri berkata, RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui Tekun Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000.

Selain itu, moratorium segera di antara enam hingga 12 bulan turut disediakan tertakluk kepada terma dan syarat.