MPAJ beri lesen sementara penjaja

Mohd Fauzi (kanan) meninjau keadaan kaunter MPAJ yang dibuka di Dewan Datuk Ahmad Razali Kampung Melayu Ampang pada Khamis.
Mohd Fauzi (kanan) meninjau keadaan kaunter MPAJ yang dibuka di Dewan Datuk Ahmad Razali Kampung Melayu Ampang pada Khamis.
A
A
A

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan program Penjaja Lesen Berselerak Covid-19 (PBC19) bagi membantu penjaja kecil berniaga di lokasi bersesuaian.

Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, sebanyak 518 lesen telah dikeluarkan antara September hingga 13 Disember lalu di bawah PBC19.

Menurutnya, lesen sementara tersebut dilaksanakan hingga Mac depan dan akan membuat pertimbangan melanjutkan PBC19 mengikut kesesuaian.

"Tawaran ini dibuka kepada semua penjaja yang membuat pendaftaran. Kami benarkan penjaja berniaga di lokasi yang bersesuaian secara kawalan dan mudah dipantau.

"Ini merupakan inisiatif MPAJ dalam membantu merancakkan kembali ekonomi pasca Covid-19, pada masa sama aktiviti tersebut dikawal menerusi beberapa syarat yang perlu dipatuhi," katanya pada program turun padang ke Dewan Datuk Ahmad Razali Kampung Melayu Ampang pada Khamis.

Pada masa sama, Mohd Fauzi memberitahu, MPAJ mengambil pendekatan mendidik daripada mengeluarkan kompaun kepada penjaja ketika tempoh Covid-19.

"Kami cuba elakkan mengenakan kompaun kepada peniaga dalam tempoh yang sukar ini tetapi pemantauan tetap dilakukan terhadap aktiviti-aktiviti perniagaan.

"MPAJ lebih banyak kompromi dengan mendidik peniaga supaya mematuhi peraturan memandangkan mereka juga baru boleh memulakan perniagaan selepas terkesan dengan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Fauzi memaklumkan yang MPAJ telah membuka kaunter di beberapa lokasi bagi memudahkan pembaharuan lesen perniagaan dan penjaja bagi tahun 2022.

Jelasnya, MPAJ membuka kaunter di Dewan Datuk Ahmad Razali Kampung Melayu Ampang di sini dari Oktober lalu hingga Disember ini bagi memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan termasuk PBC19, pembaharuan lesen serta permohonan dan pembayaran kutipan caj beg plastik.