Rang undang-undang berkaitan hak cipta, petunjuk geografi lulus

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan dua lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Petunjuk Geografi 2021.

Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 antara lain bertujuan mengukuhkan peruntukan berkaitan penguatkuasaan hak cipta khususnya dalam persekitaran digital dengan memperkenalkan kesalahan pelanggaran hak cipta, melibatkan teknologi penstriman selaras perkembangan penyiaran karya secara dalam talian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rang undang-undang yang bertujuan meminda Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) itu juga akan meluaskan kuasa penguatkuasaan bagi memastikan tindakan lebih efektif terhadap mana-mana orang yang melakukan pelanggaran hak cipta.

“Akta 332 ini dipinda bagi memastikan undang-undang hak cipta yang dilaksanakan akan memberi perlindungan dengan lebih efisien dan efektif selaras dengan keperluan semasa dan bagi memenuhi kehendak komuniti perniagaan dan pihak-pihak yang berkepentingan.

“Di samping itu, perundangan hak cipta perlu ditambah baik dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan landskap perlindungan harta intelek dan bersesuaian dengan peruntukan dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua.

Menurut Nanta, KPDNHEP akan memastikan pindaan Akta 332 memberi perlindungan hak cipta sewajarnya termasuk melaksanakan pengecualian hak yang dibenarkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pindaan itu juga sebagai persediaan Malaysia menyertai Marrakesh Treaty To Facilitate Access To Published Works For Persons Who Are Blind, Visually Impaired Or Otherwise Print Disabled (Perjanjian Marrakesh) bagi mengiktiraf hak Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk mendapatkan karya dalam format boleh akses (accessible format copy) seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat 29 Oktober lepas.

Katanya, penyertaan Malaysia sebagai anggota Perjanjian Marrakesh akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara dengan memberi pengecualian daripada mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses bagi OKU penglihatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid ketika membentangkan Rang Undang-Undang Petunjuk Geografi 2021 pula berkata kementerian itu melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berperanan mengawal selia pembangunan dan pentadbiran sistem harta intelek.

Beliau berkata ia termasuk mentadbir dan menguat kuasa Perundangan Harta Intelek seperti perlindungan dan pendaftaran petunjuk geografi.

“Petunjuk geografi adalah suatu petunjuk yang mengenal pasti apa-apa barang sebagai berasal daripada suatu negara atau wilayah, atau suatu rantau atau lokaliti dalam negara atau wilayah itu yang suatu kualiti, reputasi atau ciri-ciri lain barang itu adalah pada dasarnya boleh dikaitkan dengan tempat asal geografinya,” katanya.

Terdahulu, sidang dewan turut meluluskan Rang Undang-Undang Paten (Pindaan) 2021, Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Kewangan 2021.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Khamis. - Bernama