Washington teliti langkah tambahan kembalikan demokrasi di Myanmar

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J Blinken (dua, kanan) di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Saifudin Abdullah (kiri).

 - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J Blinken (dua, kanan) di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Saifudin Abdullah (kiri).

 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken berkata Washington akan meneliti tindakan dan langkah tambahan yang perlu diambil bagi memberi tekanan kepada rejim Myanmar supaya mengembalikan semula demokrasi di negara itu.

Beliau juga menggesa rejim itu melaksanakan dan mematuhi Konsensus Lima Perkara yang disepakati pemimpin ASEAN untuk menamatkan krisis politik di Myanmar, sambil menambah di sebalik usaha ini keadaan di negara itu semakin teruk.

“Saya fikir adalah penting dalam beberapa minggu atau bulan akan datang, kita perlu lihat apakah tindakan atau langkah tambahan yang boleh kita ambil secara individu, secara kolektif untuk menekan rejim supaya mengembalikan semula demokrasi, termasuk bebaskan tahanan politik, tamatkan keganasan dan (beri) akses kepada petugas dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Blinken berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas mesyuarat dua hala yang diadakan di pejabatnya di sini, Rabu. Blinken dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, sebahagian lawatan sulungnya ke tiga negara di rantau Asia Tenggara - Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Saifuddin berkata perkembangan situasi di Myanmar akan menjadi tumpuan pada Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean di Kemboja bulan depan yang dijangka bakal membincangkan komitmen dan pencapaian mengenai Konsensus Lima Perkara.

“Kita perlu lihat kepada langkah seterusnya, kenal pasti pencapaian sebenar yang sudah dibuat. Kita ada Konsensus Lima Perkara tetapi kita tidak benar-benar kenal pasti caranya dan bilakah satu-satu perkara itu perlu dicapai.

"Jadi menggariskan langkah dan pencapaian sebenar mengenai tarikh dan hasilnya akan menjadi keputusan penting di mesyuarat itu nanti," katanya.

Saifuddin berkata secara keseluruhan Asean perlu mencari jalan untuk menentukan bagaimana badan serantau itu mahu bertindak dalam melaksanakan konsensus berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata walaupun Asean berbangga mempertahankan prinsip tidak campur tangan, tetapi ia tidak boleh kekal selama-lamanya.

“ASEAN juga harus melihat prinsip tidak campur tangan kerana apa yang berlaku di Myanmar sebenarnya bukan setakat dalam negara sahaja tetapi turut memberi kesan di luar negara itu,” katanya, merujuk kepada krisis Rohingya yang menyaksikan Malaysia kini menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

“Mungkin ada Pelan A, Pelan B atau Pelan C. Anda tidak boleh berpegang pada satu sahaja dan jika pelan itu tidak menjadi dan anda tetap berpegang pada pelan itu,” katanya.

Menteri-menteri luar ASEAN sebelum ini memutuskan untuk tidak membenarkan ketua junta Myanmar menghadiri Sidang Kemuncak Asean pada Oktober, satu langkah belum pernah berlaku, kerana kurangnya tindakan junta dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara.

Asean, yang ditubuhkan pada 1967, kini terdiri 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pada April lepas, Asean sepakat menerima pakai konsensus itu untuk menangani keadaan sosiopolitik yang semakin meruncing di Myanmar berikutan rampasan kuasa tentera yang mencetuskan beberapa konfrontasi antara orang awam dan pasukan keselamatan, menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban.

Blinken berkata, krisis politik di Myanmar dijangka dibincangkan pada sidang kemuncak khas dengan pemimpin ASEAN yang dihoskan Washington tahun depan.

“Apa yang kita lihat sepanjang tahun lepas di Myanmar, tiadanya demokrasi,keganasan, penderitaan rakyat serta situasi kemanusiaan yang sangat sukar, saya fikir ia amat membimbangkan setiap anggota ASEAN dan Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, beliau berkata sidang kemuncak itu juga mencerminkan pandangan Washington tentang kepentingan Asean di Indo-Pasifik.

Beliau berkata, AS dan Asean mempunyai visi bersama mengenai keamanan dan masa depan rantau Indo-Pasifik yang sejajar dengan Asean Outlook on the Indo-Pacific. - Bernama