Cath Lab swasta pertama di Terengganu

A
A
A

KMI Kuala Terengganu rasmi Makmal Kateterisasi, tawar perkhidmatan rawatan jantung

KUALA TERENGGANU - KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) yang dahulunya dikenali sebagai Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), melancarkan Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) swasta yang pertama di Terengganu, di lobi hospital tersebut pada Selasa.

Cath Lab yang mula beroperasi semenjak Disember 2020 menawarkan perkhidmatan diagnostik dan kardiologi intervensi kepada komuniti di Kuala Terengganu dan sekitarnya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Cath Lab merupakan satu lagi penanda aras kepada hospital swasta lain milik kerajaan negeri sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Menurutnya, pesakit di sekitar Kuala Terengganu dan kawasan berhampiran kini mempunyai pilihan dalam perkhidmatan jantung menggunakan teknologi terkini.

“Dengan kos pembinaan Makmal Kateterisasi yang mencecah hampir RM4 juta ini, ia diharap dapat mengurangkan kesesakan rawatan pesakit jantung di hospital kerajaan.

“Peningkatan kes penyakit kronik seperti barah, jantung dan sebagainya sangat membimbangkan. Mengikut statistik, sejak 2005 penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian rakyat Malaysia.

“Kajian itu juga menunjukkan serangan jantung berlaku dalam kumpulan umur yang lebih muda di Malaysia iaitu 58 tahun berbanding negara jiran kita Thailand (65 tahun) dan Singapura (61 tahun),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dr. Alias Razak; Pengerusi KMIKT, Mazli Zakuan Mohd Noor; Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali dan Pengurus Besar KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Salina Long.

Pada majlis sama, KMIKT turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan USAINS Tech Services Sdn. Bhd. untuk meneroka potensi kerjasama dalam penyediaan bersama rawatan kardiovaskular dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan Cath Lab di KMIKT.

Cath Lab turut menawarkan perkhidmatan rawatan jantung seperti Angiografi Koronari, Angioplasti Koronari, Pemasangan Alat Pacu Jantung (pacemaker) dan Pemantauan Elektrofisiologi (Electrophysiology Study).

Pasukan Kardiologi di KMIKT diterajui oleh Dr. Ahmad Suhaimi Mustafa yang mempunyai subspesialiti dalam bidang elektrofisiologi yang turut menumpu kepada servis pemasangan perentak jantung kepada pesakit yang mempunyai masalah rentak jantung tidak sekata.

Sementara itu, Salina berkata, KMI Kuala Terengganu bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh dan berkualiti untuk semua pelanggan mereka.

“Pembinaan Makmal Kateterisasi Jantung KMIKT ini secara tidak langsung telah membuka lembaran baru dalam usaha KMIKT untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif dan menyeluruh.

Tidak lama lagi, perkhidmatan lain seperti nefrologi dan onkologi akan menyusul untuk menyokong perkhidmatan sedia ada,” katanya.

Sempena pelancaran itu, KMIKT turut menawarkan promosi pengenalan RM100 untuk sesi konsultasi bersama pakar kardiologi dan pakej saringan kesihatan jantung bermula dengan harga RM450.

Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare) adalah anak syarikat TDM Berhad yang tertumpu kepada penjagaan kesihatan dan menguruskan lima hospital pakar komuniti iaitu:

- KMI Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya, Selangor

- KMI Kuantan Medical Centre di Kuantan, Pahang

- KMI Kuala Terengganu Medical Centre di Kuala Terengganu, Terengganu

- KMI Taman Desa Medical Centre di Kuala Lumpur, dan

- KMI Tawau Medical Centre di Tawau, Sabah.

Dengan visi untuk menjadi "Penjagaan kesihatan yang dipercayai dan menjadi pilihan”, KMI berdedikasi untuk memahami dengan lebih mendalam tentang keperluan pesakit untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada komuniti setempat.

Semua hospital yang dibina khas (KMI Kuantan dan KMI Kuala Terengganu), menawarkan bilik dengan katil persendirian (single-bedded) bagi memastikan privasi dan keselesaan pesakit serta penjaga mereka.

KMI menawarkan kualiti penjagaan kesihatan yang berpatutan tetapi tidak pernah berkompromi untuk memberikan kualiti yang terbaik sentiasa jelas dalam setiap pendekatan perniagaan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi laman sesawang www.kmihealthcare.com.