Perlu dana RM13,000 bedah jantung anak

Nuridayu dan suaminya Alif Luqman menunjukkan acar buah Kak Pah yang dijual mereka untuk menambah dana kos pembedahan puteri sulung mereka.
Nuridayu dan suaminya Alif Luqman menunjukkan acar buah Kak Pah yang dijual mereka untuk menambah dana kos pembedahan puteri sulung mereka.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kegembiraan pasangan suami isteri mendapat cahaya mata yang dinantikan diuji apabila anak perempuan mereka, Nur Aina Rizqin Alif Luqman, 18 bulan, disahkan menghidap jantung berlubang sejak lahir.

Disebabkan masalah jantung berlubang, pasangan Alif Luqman Azizan, 30, dan isterinya, Nuridayu Kamarudin, 31, memerlukan RM20,000 sebagai kos pembedahan anak perempuan mereka itu.

Nuridayu berkata, doktor yang merawat Nur Aina di Hospital Serdang, Selangor memberi tempoh tiga bulan sejak Oktober lalu untuk dia dan suaminya menyediakan dana berkenaan,

Namun menurutnya, dalam tempoh itu, mereka hanya berjaya mengumpulkan RM7,000 dan buntu memikirkan untuk mencari kira-kira RM13,000 lagi memandangkan suaminya hanya menjual air balang dan bekerja sampingan di kedai makan dengan pendapatan RM40 hingga RM50 sehari.

Katanya, walaupun menghidap sakit buah pinggang kronik dan asma, namun dia juga mengambil tempahan acar buah bagi menambahkan dana kos pembedahan anaknya namun masih tidak mencukupi.

"Kami bimbang bulan Disember ini pihak hospital akan menghubungi kami untuk pembedahan anak kami yang perlu dilakukan secepat mungkin.

"Bagaimanapun dana yang diperlukan belum cukup dan harap orang ramai dapat membantu agar anak kami berpeluang menikmati kehidupan seperti anak-anak lain," katanya ketika menerima kehadiran aktivis Shikh Muhammad Makhdad yang prihatin dengan nasib anak kecil itu di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:


Shikh Muhammad (kiri) ketika menyantuni keluarga Nuridayu di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.
Shikh Muhammad (kiri) ketika menyantuni keluarga Nuridayu di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nuridayu yang menumpang di rumah ibunya berkata, sejak lahir anaknya telah disahkan menghidap jantung berlubang namun ketika itu terdapat dua lubang.

Menurutnya, namun ketika usia anaknya empat bulan, salah satu lubang telah tertutup sendiri dan doktor memaklumkan lubang yang ada dikhuatiri akan turut membesar mengikut pembesaran anaknya.

"Sekarang ini Aina tak boleh main terlalu penat, menangis atau demam kerana bahagian dada dan muka akan bertukar kebiruan dan harap pembedahan yang akan dilakukan tidak lama lagi berjalan lancar," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank RHB milik Nuridayu 15408600027033.