Kes buli: Kelantan sokong wujudkan warden sepenuh masa

Video buli di sebuah asrama penuh yang tular sejak minggu lalu.
Video buli di sebuah asrama penuh yang tular sejak minggu lalu.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menyokong penuh cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, cadangan berkenaan perlu dipertimbangkan secepat mungkin memandangkan ia merupakan keperluan semasa bagi mengelak masalah sosial berkenaan.

“Kita bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana kita melihat isu ini memerlukan perhatian dan tindakan segera serta tegas dari pihak sekolah.

“Tidak kira di mana sekalipun, kes-kes seperti ini sentiasa berlaku dan kita semestinya membendung daripada ia terus berleluasa tanpa kawalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini akhbar tempatan melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata, perkara itu perlu diperhalusi berdasarkan laporan penuh kes buli yang dilaporkan termasuklah kes yang melibatkan seorang pelajar yang dipercayai dibuli sekumpulan pelajar lain di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, bukan hanya mewujudkan warden, namun pihak sekolah juga perlu memperkasakan Unit Kaunseling yang ada terutamanya sekolah yang mempunyai asrama.

Beliau berkata, ia amat penting bagi memastikan pantauan dan tinjauan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin oleh pihak sekolah agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita mahu pelajar itu sendiri tampil membuat laporan, jangan takut. Jangan risau, sampai bila kita harus berdiam diri sedangkan perkara ini perlu di bendung.

“Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan baik. Walaupun mereka berada di asrama, namun kita tiada alasan untuk meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak sekolah. Ini kerana asuhan itu bermula daripada kita sendiri, maka pendidikan berterusan tetap perlu dilakukan.

“Terapkan nilai murni di hati mereka supaya saling mengasihi antara satu sama lain, membantu antara mereka sekali gus menjadikan mereka pelajar yang berwawasan, berdedikasi dan cemerlang,” ujarnya.