Jangan tunggu saat akhir bayar saman

Mior Faridalathrash bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya sempena Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021.
Mior Faridalathrash bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya sempena Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021.
A
A
A

PASIR SALAK - Polis Perak menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk melunaskan bayaran saman dengan tawaran 80 peratus.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lanjutan tempoh sehingga 31 Disember itu bertujuan mengelak orang ramai daripada beratur panjang dan bersesak di kaunter pembayaran.

"Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk pergi ke balai atau kaunter trafik yang dibuka untuk melunaskan saman-saman yang tertunggak.

"Masyarakat sekarang suka 'last minit' kerana fikir masih ada masa, akibatnya nanti apabila ramai tertumpu di balai hingga menyebabkan kesesakan dan tiada penjarakkan.

"Apabila ada yang tidak dibenarkan masuk, mereka marah polis pula, sebab itu kita galakkan mereka segera ke balai untuk pembayaran tanpa tunggu tarikh akhir," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di Dewan Agro Aman Jaya, Kompleks Perumahan Kakitangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Tanjung Tualang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, Mohd Razali Abd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Mior Faridalathrash berkata, pengumuman lanjutan tempoh yang dibuat kerajaan telah mengakibatkan penurunan mendadak peratusan kehadiran orang awam ke kaunter bayaran trafik di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kaunter trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sendiri merekodkan hanya 300 orang awam hadir membayar saman pada Isnin berbanding kehadiran yang ramai empat hari sebelumnya.

"Apabila diumum tempoh lanjutan bayaran saman, memang peratusan orang awam menyelesaikan saman tertunggak menurun secara mendadak.

"Penurunan ini juga mungkin disebabkan faktor-faktor lain seperti pembayaran dalam talian melalui aplikasi dan portal serta mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang boleh dilakukan sekarang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Perak merekodkan kutipan lebih RM13.5 juta bayaran saman menerusi tawaran berkenaan, setakat Ahad.

Katanya, jumlah itu melibatkan kutipan RM1.89 juta bagi kempen diskaun 50 peratus yang dijalankan Polis Perak bermula 1 Disember lalu dan RM11.64 juta bagi tawaran 80 peratus bermula 9 Disember lepas.

Dalam majlis itu, Mior Faridalathrash memberitahu, terdapat 30 agensi di negeri ini telah menggunakan khidmat polis bantuan dengan kekuatan keanggotaan keseluruhan 1,512 orang.

Pihaknya mencadangkan untuk mengadakan mesyuarat secara berkala dengan polis bantuan Kontinjen Perak selepas ini bagi mengenalpasti permasalahan sert syor penyelesaian berkaitan penugasan.

"Kolaboratif antara polis dengan agensi polis bantuan ini juga akan dilakukan melalui program-program melibatjan komuniti bagi membantu masyarakat mengurangkan ketakutan dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.