Dua peniaga sayur disyaki mencatut diberi notis

Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan. - Foto ihsan KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan telah mengeluarkan notis terhadap dua peniaga sayur-sayuran yang disyaki melakukan kesalahan mencatut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, peniaga berkenaan dikenakan tindakan dalam Ops Pasar Sayur-Sayuran yang dilakukan pada 27 November sehingga Ahad lalu.

"Peniaga pertama didapati tidak menurunkan harga sayur brokoli yang dijual di premisnya sedangkan kos pembekalan item itu didapati menurun.

"Ini menyebabkan peratusan margin meningkat sebanyak 4.37 peratus daripada peratusan keuntungan maksimum yang dibenarkan pada tahun semasa,"katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurut beliau, peniaga kedua pula didapati menerima keuntungan maksimum bagi jualan cili merah minyak lebih tinggi iaitu 53.9 peratus berbanding keuntungan maksimum tahun semasa dibenarkan iaitu 44.01 peratus.

Ujar beliau, dua kertas siasatan telah dibuka terhadap dua peniaga berkenaan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan pemantauan berterusan dilakukan melalui operasi ini dilihat memberi kesan positif berikutan hasil pemantauan susulan mendapati kedua-dua premis ini telah menurunkan harga bagi sayur-sayuran tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abd Muis berkata, secara keseluruhan sebanyak 34 notis dikeluarkan sepanjang operasi dilakukan iaitu 17 Notis di bawah Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan dan 17 notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2021 terhadap rantaian pengedaran sayur-sayuran di negeri sembilan.

Selain itu katanya, dari tempoh 1 Januari sehingga 30 November tahun ini, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka oleh KPDNHEP Negeri Sembilan atas kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.