Kutipan zakat Selangor melebihi sasaran tahun 2020

Mohd Sabirin ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan Tahun 2022 Negeri Selangor di Dewan Auditorium Pusat Siswazah UKM.
Mohd Sabirin ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan Tahun 2022 Negeri Selangor di Dewan Auditorium Pusat Siswazah UKM.
A
A
A

BANGI - Kutipan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun ini melebihi sasaran sekitar 8 peratus setakat Oktober lalu pada tempoh sama tahun 2020 iaitu sebanyak RM654.4 juta.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, nilai tersebut direkodkan melepasi sasaran tahun lalu berdasarkan jumlah terbaharu setakat Oktober lalu.

Menurutnya, peningkatan kutipan wang zakat tersebut menunjukkan komitmen pengeluar zakat yang tinggi dan kesedaran untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Ini menunjukkan komitmen pengeluar zakat yang begitu komited untuk mengeluarkan wang zakat terutamanya mereka yang masih mampu berbuat demikian walaupun negara dilanda pandemik Covid-19,

"Malah kita dapati ada beberapa pengeluar zakat baharu berbuat demikian pada tahun ini, mungkin ini disebabkan mereka melihat kepada keperluan penerima zakat yang terus meningkat disebabkan situasi pandemik ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan Tahun 2022 Negeri Selangor di Dewan Auditorium Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, pihaknya juga akan membantu golongan lain seperti M40 dan rentan yang turut terjejas ketika musim pandemik jika mereka didapati layak.

Ujarnya, pihak LZS turut membantu institusi lain yang terjejas ketika pandemik seperti masjid, surau dan maahad tahfiz yang memerlukan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun terdapat segelintir daripada golongan tersebut (M40 dan rentan) yang masih mampu, namun kita akan lihat daripada aspek lain untuk dibantu seperti perubatan, sewa rumah dan sebagainya.

"Harapan kami agar semua pengeluar zakat atau bakal pengeluar untuk menyegerakan pengeluaran wang zakat dan tidak perlu tunggu pada penghujung tahun.

"Jika memang mampu, mereka boleh terus menunaikan tanggungjawab tersebut di cawangan-cawangan LZS terdekat atau secara dalam talian," jelasnya.