Tatiuc, Real Chukai FC kongsi kepakaran

RAIHAM MOHD SANUSI

Ahmad (kiri) menyerahkan jersi kelabnya yang tertera logo Tatiuc kepada Anuar (kanan) sambil disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah Tatiuc, Satiful Bahri Mamat (tengah), Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah (dua, kiri) dan Adun Chukai, Hanafiah Mat.
Ahmad (kiri) menyerahkan jersi kelabnya yang tertera logo Tatiuc kepada Anuar (kanan) sambil disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah Tatiuc, Satiful Bahri Mamat (tengah), Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah (dua, kiri) dan Adun Chukai, Hanafiah Mat.
A
A
A

KEMAMAN - Kolej Universiti Tati (Tatiuc) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Real Chukai Football Club (FC) sebagai rakan rasmi pusat pengajian tinggi.

Persefahaman itu bakal menyaksikan kedua-dua belah pihak bekerjasama dalam pelbagai bidang dan projek yang bakal memberi manfaat kepada semua.

Rektor Tatiuc, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi kerjasama itu pelajar Tatiuc akan memperolehi pengalaman bekerja, menjalani latihan praktikal serta ditempatkan di kelab itu.

Menurutnya, jurulatih bola sepak kelab itu pula boleh memanfaatkan kemudahan fasiliti sukan universiti itu di mana pihak universiti juga bakal membimbing dan memberi sokongan kepada para pemain sepanjang latihan serta kerjaya melalui pusat pengembangan kerjaya universiti.

Katanya, penjenamaan berimpak tinggi bakal dijelmakan di padang pertandingan ketika perlawanan tuan rumah dilangsungkan selain logo universiti juga akan dipamerkan di jersi rasmi pasukan.

“Saya percaya bahawa ini adalah permulaan untuk jalinan jangka masa panjang antara universiti dan kelab. Kedua-dua pihak berada dalam posisi yang memberangsangkan dan masih mendambakan lebih banyak kejayaan.

“Kami pernah bekerjasama pada masa yang lalu, tetapi kerjasama kali ini adalah satu permulaan era baru. Saya berharap ini adalah satu titik tolak kepada usahasama yang lebih besar kerana kita sedaya mahu memberi galakan positif kepada generasi muda di bandar," katanya.

Tambahnya, usaha itu sangat penting dari aspek pendidikan kerana Tatiuc boleh membantu pasukan itu mengembangkan lagi kerjaya mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Real Chukai FC, Ahmad Mat Zin berkata, persefahaman itu memberikan galakan positif antara “#TheAnchors” yang merupakan nama jolokan pasukan itu dan Tatiuc.

“Ini bukan sahaja menguntungkan dua organisasi tetapi daerah Kemaman secara keseluruhannya kerana kita menggabungkan sukan dan pendidikan untuk menjadi inspirasi bandar ini.

“Peluang sebeginilah yang diidamkan oleh pihak kami, universiti serta entiti besar lain untuk dimanfaatkan serta dibangunkan pada masa hadapan," katanya lagi.