Perak catat 684 kes keganasan rumah tangga

Wan Norashikin ketika menjawab soalan Salbiah Mohamad (BN- Temengor) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh pada Isnin.
Wan Norashikin ketika menjawab soalan Salbiah Mohamad (BN- Temengor) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Masalah kewangan, masalah peribadi, mabuk, penagihan dadah dan penceraian antara faktor yang menyebabkan kes keganasan rumah tangga berlaku di Perak.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, sebanyak 684 kes dicatatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mengikut statistik daripada polis, 551 kes keganasan rumah tangga dicatatkan sejak Mac 2020 hingga Oktober lalu manakala 133 kes lagi dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dalam tempoh yang sama.

"Tiga daerah yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi ialah Kinta dengan 39 kes, Larut Matang dan Selama (22 kes) dan Manjung (21 kes) sebagaimana yang telah dilaporkan kepada JKM bagi 2020 hingga November tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Salbiah Mohamad (BN- Temengor) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 311 kes jenayah seksual turut dicatatkan pihak polis melibatkan kesalahan rogol, seksual terhadap kanak-kanak, cabul dan liwat.

"146 kes dicatatkan pada tahun 2020 manakala 165 kes diterima sehingga Oktober lalu. Kesalahan kes jenayah seksual rogol adalah yang tertinggi dengan 144 kes dilaporkan.

"Sebanyak 22 kes dicatatkan bagi tempoh sama bagi kes gangguan seksual yang melibatkan kesalahan perbuatan lucah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri melalui JKM menyediakan beberapa perkhidmatan dengan memberi nasihat dan membantu mangsa mendapatkan perintah perlindungan.

"Selain itu, khidmat bantuan kaunseling oleh pegawai psikologi dan kaunselor JKM turut diberikan, memberi perlindungan dan tempat selamat serta merujuk kepada agensi lain seperti mahkamah syariah, pejabat pendaftar perkahwinan dan biro bantuan guaman.

"JKM juga berusaha ke arah memperluaskan tempat selamat dan tempat berlindung di bawah badan bukan kerajaan (NGO) bagi menampung keperluan mangsa yang terlibat dalam keganasan rumah tangga," ujarnya.