Peniaga diberi notis jual tauhu 'mahal'

Mohd Zawawi (kanan) bersama Muhamad Zikril dan Azmizam Zaman ketika tinjauan pematuhan harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Awam Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
Mohd Zawawi (kanan) bersama Muhamad Zikril dan Azmizam Zaman ketika tinjauan pematuhan harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Awam Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Gara-gara menjual tauhu pada harga yang mahal, seorang peniaga di Sepang dikenakan notis amaran melalui pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tindakan diambil berdasarkan aduan yang diterima oleh pejabat KPDNHEP Sepang.

"Satu aduan diterima di kawasan Sepang berhubung harga sayur (jenis tauhu) yang didakwa mahal.

"KPDNHEP Sepang telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada premis berkenaan," katanya selepas tinjauan pematuhan harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Awam Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Menurut Mohd Zawawi, hasil pemeriksaan turut mendapati peniaga gagal mengemukakan dokumen urus niaga belian tauhu daripada pembekal.

"Peniaga berkenaan diarahkan hadir ke Pejabat KPDNHEP Sepang untuk mengemukakan maklumat," katanya.

Menurutnya, sebanyak 652 premis diperiksa sepanjang sejak 7 Disember hingga 12 Disember ketika tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan melibatkan 643 peruncit dan sembilan pemborong di negeri ini," katanya.