Kesan Covid-19 digarap dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030

Saarani ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan ketika sidang DUN Perak di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Unit Dewan Negeri Perak
Saarani ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan ketika sidang DUN Perak di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Unit Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 mengambil kira faktor ekonomi semasa termasuk kesan penularan Covid-19 sebagai asas dalam menentukan pembangunan dan hala tuju pentadbiran lebih mampan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, 'roadmap' pelan berkenaan yang telah dilancarkan pada 29 Mac lalu kini berada pada fasa ketiga dan dijangka siap pada bulan Februari 2022.

"Sudah pasti apabila kita merancang sesuatu pembangunan jangka masa panjang kita akan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

"Kesan daripada pandemik Covid-19 turut menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) yang diwakili Paul Yong Choo Kiong (Bersatu- Tronoh) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Menurutnya, pelan itu berpaksikan kepada matlamat Perak Makmur Rakyat Sejahtera dengan tujuan memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.

"Oleh itu, pelan ini dibangunkan dengan menggarap pelan-pelan sedia ada termasuklah Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan lain-lain rancangan yang relevan.

"Pelan ini akan menggariskan strategi-strategi yang berpandukan kelebihan dan potensi negeri agar dapat menyokong pengembangan industri tradisional, ekonomi digital, jaminan keselamatan makanan, pelancongan serta memacu kemunculan industri baharu seterusnya menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)," katanya.

Saarani berkata, pelan pembangunan itu adalah berlandaskan tiga prinsip utama iaitu inklusif, realistik dan boleh capai.

Artikel Berkaitan:

"Fasa pertama telah dijalankan melalui sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan manakala fasa kedua pula telah dilaksanakan melibatkan sesi libat urus bersama anggota pentadbiran kerajaan negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Kini penyediaan pelan berada dalam fasa ketiga iaitu melibatkan libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat daerah. Fasa ini melibatkan pembangunan inisiatif strategik dan program serta pelan tindakan mengikut daerah pentadbiran di negeri Perak," katanya.

Jelasnya, fasa keempat pula akan melibatkan penyediaan pelan pemantauan dan draf akhir pelan yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2022.