Khairulazhan, Faisal sudah 'bebas'

Faisal (kiri) dan Khairulazhan telah selesai menjalani kuarantin wajib selama 10 hari selepas dijangkiti Covid-19. -Foto Facebook Terengganu FC/Facebook FAM
Faisal (kiri) dan Khairulazhan telah selesai menjalani kuarantin wajib selama 10 hari selepas dijangkiti Covid-19. -Foto Facebook Terengganu FC/Facebook FAM
A
A
A

DUA tonggak Harimau Malaya, Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim mendapat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) selepas selesai menjalani kuarantin wajib pada Ahad.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, beliau telah dimakumkan mengenai perkara itu selepas kedua-dua pemain berkenaan dibenarkan keluar daripada tempoh pengasingan selama 10 hari.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, Khairulazhan dan Faisal perlu menjalani ujian calitan RT-PCR terlebih dulu sebelum mereka kembali dibenarkan menyertai skuad Harimau Malaya.

“Khairulazhan dan Faizal yang sebelum ini dijangkiti Covid-19 sudah diberi pelepasan selepas kita (FAM) terima memo daripada MOH susulan mereka sudah tamat tempoh isolasi 10 hari.

“Tapi sebagai langkah berwaspada, mereka akan buat ujian PCR untuk ketahui viral load (kandungan virus) sama ada masih boleh menjangkiti orang lain atau tidak.

“Jika ujian itu keputusannya negatif, barulah Khairulazhan dan Faisal boleh kembali bersama-sama pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebelum ini, Harimau Malaya berdepan dugaan besar apabila Khairulazhan, Faisal serta dua lagi pemain, Akhyar Rashid, Quentin Cheng didapati positif Covid-19.

Artikel Berkaitan: