Undi 18 cabaran baharu polemik politik UMNO

Norakmal dan Dr Nor Hasrul
Norakmal dan Dr Nor Hasrul
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Undi 18 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan bermula tahun hadapan bukan sahaja boleh memberikan kelebihan kepada mana-mana parti politik, namun ia juga bakal membawa kesan besar.

Perkara itu dinyatakan pemimpin sayap UMNO Johor yang turut mengakui bukan mudah untuk memikat hati golongan pengundi berusia 18 tahun kerana sebahagian besar daripada mereka tidak berminat dengan politik.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai, Norakmal Muhammad berkata, cabaran utama adalah untuk membuka minda agar pengundi berusia 18 tahun mampu memahami secara jelas apa itu hak mengundi dalam membina negara.

Katanya, ini kerana pengundi 18 tahun berkenaan kebanyakannya merupakan golongan remaja lepasan sekolah yang masih belum terdedah secara meluas mengenai konsep kenegaraan, politik dan mengundi.

"Jadi sebagai pemimpin akar umbi, pertama sekali kita perlu memberikan penerangan dan pendedahan awal secukupnya kepada pengundi pertama kali ini supaya mereka memahami serta mengetahui pentingnya setiap undi itu dalam membina negara.

"Namun saya percaya golongan remaja generasi alpha dan beta ini mudah untuk diberikan pemahaman serta mengasah minda mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Norakmal berkata, bentuk pendekatan dan kempen untuk golongan pengundi baharu itu juga perlu berbeza dan mengikuti corak pemikiran mereka.

"Kita tak boleh guna cara lama atau lapuk kerana generasi alpha dan beta ini cukup lain kerana pendedahan teknologi serta gaya hidup terkini yang mereka tempuhi selama ini.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi Puteri Umno Pulai sudah bersedia untuk mendekati dan pikat hati golongan pengundi 18 tahun ini supaya bersama dalam wadah perjuangan UMNO serta Barisan Nasional," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bahagian Tenggara, Dr Nor Hasrul Akhmal Ngadiman berkata, pihaknya mengakui memang terdapat cabaran dalam memenangi hati golongan itu namun semuanya masih terkawal.

Beliau berkata, dalam lanskap politik hari ini dan perkembangan platform media sosial, budaya politik matang amat penting untuk diterapkan kepada golongan pengundi pertama kali itu.

"Bukan mudah untuk membentuk minda politik matang terutamanya dalam kalangan remaja masa kini, namun ia tak mustahil untuk dilaksanakan.

"Jika kita mampu memahami kehendak dan corak pemikiran kumpulan pengundi 18 tahun ini, kita dapat mendidik mereka dengan mudah.

"Apa yang penting kita kena tunjuk kepada golongan muda ini bahawa setiap undi atau pilihan mereka itu bakal mencorakkan masa depan negara,” katanya.

Dr Nor Hasrul berkata, amanah untuk mendekati dan memikat hati golongan pengundi 18 tahun ini bukan terletak atas bahu Pemuda dan Puteri UMNO semata-mata, namun ia tanggungjawab semua pemimpin akar umbi.

Katanya, apabila pemimpin UMNO di semua peringkat memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil selepas ini parti akan menjadi lebih muda dengan kehadiran golongan muda berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Undi 18 diwarta, kuat kuasa 15 Disember