PRU15: Tok Mat belum putus bertanding di mana

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan masih belum memutuskan untuk bertanding di kerusi mana pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, soal itu akan diputuskan oleh parti dan bukan dirinya sendiri.

"Itu belum diputuskan lagi, presiden yang akan memutuskan sesiapa akan bertanding di mana.

"Parti akan putuskan, bukan saya putuskan. Pilihan Raya Umum pun tak tahu lagi bila, tak payahlah kita pening-pening kepala," katanya ketika sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada sudah membuat keputusan untuk bertanding di kerusi Parlimen mana pada PRU15.

Hadir sama, Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mohamad sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021 di hotel sama.

Persoalan Mohamad bakal bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15 bukanlah perkara baharu lebih-lebih lagi namanya sering disebut-sebut sebagai pemimpin yang layak berada dalam senarai kabinet.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini juga media pernah melaporkan Mohamad bakal bertanding di Parlimen Rembau, manakala Khairy bakal 'berpindah' ke Parlimen Tampin.

Khairy yang menjawab dakwaan itu kepada pemberita dalam satu majlis di Tanjung Malim, Perak berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara dalaman atas semangat adik-beradik.

Katanya, kata sepakat mengenai perkara itu boleh dicapai memandangkan mereka berdua daripada 'keluarga' yang sama di UMNO Bahagian Rembau.