Dana RM40 bilion untuk membantu usahawan

A
A
A

Kerajaan telah berusaha membantu peniaga-peniaga kecil bagi memastikan mereka mampu kembali bangkit akibat pandemik Covid-19.
Kerajaan telah berusaha membantu peniaga-peniaga kecil bagi memastikan mereka mampu kembali bangkit akibat pandemik Covid-19.

Dana RM40 bilion langkah relevan pastikan kesinambungan Pelan Rangsangan Fiskal

SEKTOR perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan salah satu sektor yang paling diberikan tumpuan oleh kerajaan dalam Bajet 2022, yang dibentangkan pada 29 Oktober lalu.

Dengan peruntukan dana RM40 bilion untuk sektor perniagaan, ia merupakan langkah proaktif kerajaan dalam memastikan usahawan dalam negara kembali bangkit selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Peruntukan dana tersebut meliputi jaminan, ekuiti dan pinjaman, untuk membantu pemulihan terutamanya untuk sektor PMKS, sekali gus mempercepat pemulihan ekonomi negara.

Ini adalah kerana sektor PMKS ini merupakan tunjang ekonomi negara dengan puluhan ribu usahawan dalam pelbagai bidang.

Artikel Berkaitan:

AHMED RAZMAN
AHMED RAZMAN

Bagi Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dana besar tersebut merupakan satu langkah yang cukup relevan, terutama dalam memastikan kesinambungan daripada Pelan Rangsangan Fiskal yang diumumkan sebelum ini.

"PMKS sangat penting dalam negara kerana sektor ini, yang paling terkesan ketika pandemiek Covid-19 melanda negara, menyumbang kepada peluang pekerjaan yang besar.

"Tahun lepas, ketika awal pandemik, kerajaan ada buat kajian dan apabila tanya peniaga, mereka kata kalau tak ada perniagaan, simpanan mereka hanya mampu bertahan dalam dua atau tiga bulan sahaja.

"Jadi, dalam usaha untuk mereka bangun semula, suntikan dana dan bantuan yang berterusan perlu dibuat, dan itulah yang dilakukan oleh kerajaan dengan mengumumkan peruntukan besar pada Bajet 2022," katanya.

Beliau turut menjangkakan PMKS akan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih dan untuk itu, ada keperluan untuk memastikan sektor itu terus dibantu.

"Selepas semua sektor dibuka semula, PMKS sudah boleh (bangkit), dan amat rugi sekiranya mereka yang sedang kembali untuk pulih ini tidak dibantu.

"Sebab itu, kalau kita lihat dalam setiap pelan fiskal yang dilancarkan oleh kerajaan sejak tahun lepas dan bajet kali ini, memang suntikan bantuan kepada PMKS ini tidak putus-putus terutama darisegi geran khas perniagaan,subsidi upah dan pembiayaan kewangan.

"Jadi, dana sebanyak RM40 bilion yang diumumkan dalam bajet kali ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh PMKS," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memuji langkah kerajaan memperkenalalternatif pembiayaan dalam bentuk ekuiti kepada PMKS.

"Jika sebelum ini, pembiayaan perniagaan hanya berasaskan hutang. Masa pandemik, apabila tidak boleh berniaga, tetap kena bayar. Apabila sudah ada pembiayaan ekuiti ini adalah satu alternatif yang bagus," katanya.

Strategi kerajaan bantu PMKS

No Image Caption

Dalam strategi pertama Bajet 2022 iaitu mengembalikan keupayaan perniagaan, kerajaan memperuntukkan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion, yang akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

Melalui Tekun, sebanyak RM425 juta akan disediakan menerusi dua skim iaitu Skim Pinjaman Informal dan Mikro (SPIM) serta pelbagai skim mikro kredit.

Skim tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM10,000 dengan tempoh pinjaman selama lima tahun, selain moratorium selama 12 bulan.

Untuk PKMS yang memerlukan pinjaman mikro kredit sehingga RM75,000, permohonan boleh dibuat di BSN dan Agro Bank.

Sebanyak RM800 juta disediakan melalui BSN dan RM250 juta melalui Agro Bank dengan pinjaman tanpa faedah untuk enam bulan pertama dan serendah tiga peratus untuk bulan seterusnya.

Tempoh pinjaman pula sehingga lima tahun, selain turut ditawarkan moratorium selama enam bulan dalam tempoh pinjaman tersebut.

Agensi Koperasi juga diberikan tanggungjawab dalam menyediakan pembiayaan menerusi Program transformasi ekonomi gerakan ekonomi (TRANSFER) dengan dana sebanyak RM10 juta, Program pembiayaan intervensi pemulihan ekonomi koperasi (RM30 juta) dan Penyediaan tapak perniagaan food truck kawasan bandar sebanyak RM1.75 juta.

Sementara itu, untuk inisiatif kedua Pembiayaan Perniagaan dan Pembiayaan Alternatif pula menyaksikan sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan dengan pembiayaan sehingga RM10 juta melalui beberapa agensi kewangan.

Antara yang menarik tumpuan ialah SME Recapitalisation Fund melalui Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) dengan dana sebesar RM600 juta dengan kadar pembiayaan pinjaman sehingga RM5 juta.

Selain itu, kerajaan juga mahu memperkasa semula program pembiayaan Agro Makanan di bawah Agro Bank dengan saiz pinjaman RM500,000 dan kadar pinjaman tanpa faedah bagi enam bulan pertama dan tiga peratus untuk bulan seterusnya.

Menerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) pula, Working Capital Scheme ditawarkan dengan pinjaman sebanyak RM1 juta sehingga RM10 juta dengan kadar faedah pinjaman sebanyak empat peratus.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam inisiatifnya untuk PKS, menawarkan pinjaman bermula daripada RM300,000 sehingga RM5 juta menerusi sembilan skim pembiayaan.

Paling menarik ialah skim Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dengan dana RM1 bilion yang menyaksikan pinjaman sehingga RM5 juta selain kadar pinjaman sehingga 3.5 peratus setahun (bagi pembiayaan kredit) dan dividen (ditentukan oleh pembiaya ekuiti).

Bagi inisiatif ketiga iaitu Jaminan Pembiayaan Perniagaan, kerajaan telah mengumumkan beberapa penambahbaikkan, termasuk meningkatkan had jaminan pembiayaan perniagaan sehingga RM10 bilion sebagai tambahan kepada RM20 bilion yang telah diumumkan di bawah pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Selain itu, kerajaan juga menjamin kemudahan pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dan kemudahan pembiayaan baharu sehingga 80 peratus untuk tempoh 36 bulan sehingga maksimum RM20 juta, termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik.

Menerusi inisiatif keempat di bawah Kemudahan Menjalankan Perniagaan pula, lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 ditawarkan bagi menyokong pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti menambah baik pengudaraan Selain itu. potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja, turut disediakan.

Langkah yang diambil kerajaan dalam memulihkan semula sektor PMKS ini merupakan tindakan tepat apatah lagi dengan kembalinya sektor tersebut membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Peruntukan besar tersebut juga dapat memastikan sektor PMKS ini dapat terus berdaya saing terutama untuk menghadapi cabaran pada tahun depan.