Kenderaan ROV temui ikan kepala lut sinar

Seekor ikan yang mempunyai kepala lut sinar ditemui di Teluk Monterey, California baru-baru ini. - Foto MBARI
Seekor ikan yang mempunyai kepala lut sinar ditemui di Teluk Monterey, California baru-baru ini. - Foto MBARI
A
A
A

LOS ANGELES - Sebuah kenderaan kendalian jauh (ROV) merakamkan video seekor ikan yang memiliki kepala lut sinar sehingga menampakkan bahagian isi dalamannya dan memiliki sepasang mata bercahaya di Teluk Monterey, California, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Ia berjaya dikesan oleh Institut Penyelidikan Akuarium Teluk Monterey (MBARI) dengan menggunakan ROV pada kedalaman kira-kira 609.6 meter di teluk tersebut yang terletak di luar pantai California.

Ikan itu mempunyai dua lekukan kecil di belakang mulut.

Pada kebiasaannya, panjang hidupan laut itu ialah lebih 15 sentimeter.

Kedua-dua mata hidupan laut itu berwarna hijau bercahaya dan memandang ke atas bagi membolehkan ia mengesan kuantiti maksimum cahaya dalam satu arah.

Ikan itu mempunyai deria penglihatan yang begitu kuat hasil daripada persekitaran yang mana tiada cahaya matahari boleh sampai kepada kedalaman lebih 600 meter.

Hidupan laut itu dikenali sebagai ikan barreleye di AS.

Penyelidik percaya mata hidupan laut itu mungkin telah membangunkan satu bentuk penapis cahaya yang membolehkan ikan tersebut mengabaikan cahaya matahari dan membolehkan ia melihat bioluminesensi ikan kecil serta ubur-ubur iaitu makanan kegemarannya. - Agensi

Artikel Berkaitan: