Piala AFF: Malaysia intai untuk kejutkan Vietnam

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya kini bersedia untuk membuat kejutan dalam pertemuan dengan juara bertahan Vietnam, pada perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF, malam Ahad.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe percaya, anak buahnya mempunyai keupayaan untuk membuahkan hasil yang positif ketika menentang Vietnam, pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bishan, Singapura

“Sejak kebelakangan ini, kami tidak mempunyai keputusan yang baik bila berhadapan Vietnam... Tentu sekali mereka (Vietnam) mempunyai kekuatan dan pemain yang baik, tetapi apa yang penting kami mempunyai strategi dan perancangan untuk berhadapan Vietnam.

“Ia sentiasa sukar untuk menjaringkan gol ketika bertemu mereka, tetapi kami perlu mencari cara untuk mendapatkan keputusan yang positif dan diharapkan anak buah saya akan dapat membuat kejutan kali ini,” katanya pada sidang media secara maya pada Sabtu.

Walaupun telah mengumpulkan enam mata selepas dua perlawanan, Chen Hoe mengambarkan perlawanan berhadapan ‘Naga Emas’ itu akan menjadi ujian sebenar untuk pasukannya dalam kejohanan itu, kerana Vietnam mempunyai pemain yang terbaik dalam keupayaan taktikal dan teknikal.

Oleh sebab itu, beliau menggesa anak buahnya memperbaiki permainan pada waktu perubahan antara serangan dan bertahan, selain cepat menyesuaikan diri sewaktu permainan, terutamanya pada awal 10-15 minit permainan yang mereka kelihatan bergelut pada dua perlawanan sebelum ini, jika mereka inginkan keputusan yang baik esok.

Jurulatih berusia 53 tahun itu juga berkata, adalah penting untuk Malaysia tidak dibolosi gol akibat kesilapan individu semasa bertemu Vietnam, dan mengharapkan pasukannya meningkatkan lagi tahap pertahanan mereka.

“10-15 minit pertama sering berikan masalah kepada kami, dan saya berharap pemain akan bekerja keras setiap masa untuk memperbaiki lagi pasukan, nikmati permainan, dan meningkatkan lagi skil individu dan sekali gus memberikan keyakinan kepada pasukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia memulakan kempen mereka dengan menang bergaya 3-1 ke atas Kemboja pada Isnin sebelum membenam Laos 4-0 pada Khamis.

Berkaitan komen Jurulatih Vietnam Park Hang-Seo yang menganggap tidak adil untuk Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) membenarkan Malaysia membawa pemain baharu, Chen Hoe dengan tenang menyatakan bahawa semua pihak perlu fleksibel disebabkan isu Covid-19, yang membenarkan mereka untuk menukar pemain penjaga gol.

Selasa lepas AFF bersetuju untuk membenarkan Harimau Malaya menukar penjaga gol mereka di Piala AFF 2020 yang sedang berlangsung itu berikutan penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid diuji positif Covid-19, selepas menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) di Lapangan Terbang Changi pada 3 Disember.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Junior Eldstal yang cedera ketika perlawanan bertemu Kemboja, tidak akan dapat beraksi untuk perlawanan pada Ahad.- Bernama