Lebih 200 kali derma darah

Indra menunjukkan darah yang didermakan.
Indra menunjukkan darah yang didermakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Niat mahu membantu orang lain serta pengalaman lampau mendorong seorang penderma darah tegar ini meneruskan amalan murninya itu.

Pesara tentera, Indra Sahrin, 43, berkata, dia percaya perbuatan itu mampu menyelamatkan nyawa ramai orang menyebabkan dia kekal konsisten menderma darah sehingga lebih 200 kali sejak tahun 2000.

Malah, Indra sanggup berulang-alik lebih 150 kilometer dengan menaiki motosikal dari rumahnya ketika bertugas di Melaka pada tahun 2017 ke Pusat Darah Negara (PDN), Kuala Lumpur semata-mata untuk menderma darah.

“Selama lima tahun saya berulang-alik setiap dua minggu sekali. Niat saya satu sahaja, untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Indra yang kini menetap di Batu Pahat, Johor berkata, rutin untuk menderma darah secara aferesis untuk dua kali seminggu dilakukan sejak tahun 2005 ketika bertugas di sebuah kem di ibu negara.

Pendermaan secara aferesis ialah pendermaan darah jenis plasma dan platelet, atau kedua-duanya sekali yang boleh dilakukan dua minggu sekali, manakala pendermaan secara darah penuh atau whole blood donation dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga bulan sekali.

Sementara itu, seorang lagi penderma darah tegar, Seow We Chard, 42, berkata, kepentingan amalan menderma darah benar-benar dirasai selepas dia dimaklumkan perbuatannya telah menyelamatkan nyawa seorang bayi berusia satu tahun yang menghidap kanser.

Pegawai pengurusan teknologi maklumat (IT) di Sentul, Kuala Lumpur itu berkata, selepas peristiwa yang berlaku sekitar tahun 2008, dia terus menderma darah secara aferesis dan kini sudah melakukannya sebanyak 246 kali.

Artikel Berkaitan:

We Chard bersama isterinya, Soo Hin juga melaksanakan amalan menderma darah.
We Chard bersama isterinya, Soo Hin juga melaksanakan amalan menderma darah.

“Isteri saya (Yap Soo Hin, 42) mula menderma darah sejak tahun 2009 dan kini telah melakukannya sebanyak 92 kali. Kami akan buat aktiviti ini lebih kurang 12 ke 15 kali dalam tempoh setahun,” katanya.

Pembantu penyelidik di Lembaga Getah Malaysia, Sungai Buloh, Khairiah Usman turut menjadi penerima darah tegar.

Meskipun sudah mula menderma darah sejak lima tahun lepas, namun pemergian ayahnya disebabkan Covid-19 pada tahun lalu membuatkan dia mula menderma darah secara berkala.

“Semasa arwah ayah saya dirawat di hospital, dia memerlukan bekalan darah. Selepas dia meninggal dunia, saya pun terfikir kenapa saya tidak lakukannya secara berkala kerana ia dapat membantu proses rawatan seseorang pesakit,” ujarnya.

Graduan, Muhammad Yusri Syed Nazir, 25, pula mula menderma darah secara berkala sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun sejak tahun 2017.

Muhammad Yusri berkata, dia menyedari tidak semua orang memiliki kesempatan dan kemampuan untuk menderma darah.

“Saya selalu tengok PDN berkongsikan maklumat bekalan darah sudah berkurangan.

“Disebabkan itu, saya terfikir macam mana untuk pesakit di hospital yang memerlukan darah untuk mendapat rawatan,” ujarnya yang tinggal di Sri Petaling, Kuala Lumpur.