'Saya ingin bangunkan Gedong, bukan takut kalah di Satok'

Abang Johari mengibarkan bendera GPS selepas melancarkan buku manifesto GPS bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 baru-baru ini. - Foto Bernama
Abang Johari mengibarkan bendera GPS selepas melancarkan buku manifesto GPS bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Keputusan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong adalah kerana ingin merancakkan pembangunan di kawasan tersebut.

Tegasnya, tindakan berpindah ke kerusi luar bandar ini bukan sesuatu yang pelik dan asing kerana sudah pernah dilakukan oleh bekas Ketua Menteri terdahulu dan bukan disebabkan takut kalah di kerusi disandangnya, DUN Satok.

“Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dulu berpindah dari Asajaya ke Mukah, begitu juga Pehin Sri Adenan Satem berpindah dari Muara Tuang ke Tanjong Datu. Adakah kerana mereka takut? Tidak.

“Ini kerana mereka ingin membangunkan kawasan tersebut, sama juga seperti saya. Saya ingin membuat pembangunan di Gedong, bukan takut kalah di Satok,” katanya semasa Sembang Politik PRN12 anjuran Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak, pada Khamis.

Jelas Ketua Menteri, keputusan beliau untuk berpindah ke Gedong adalah atas permintaan penyandang kerusi terbabit, Datuk Mohd Naroden Majais sejak dua tahun yang lalu.

“Datuk Naroden datang kepada saya dan meminta saya untuk meningkatkan pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan pesisir yang meliputi Gedong, Simunjan, Asajaya, Sadong Jaya dan Sebuyau,” katanya.

Ditanya mengenai peluang memenangi pilihan raya kali ini, Abang Johari hanya mahukan jentera parti dan calon-calon untuk terus bekerja dan tidak leka dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.

Jelasnya, isu pecah undi dalam kalangan blok parti pembangkang tidak boleh dijadikan satu modal untuk jentera parti dan calon-calon yang bertanding berasa selesa dan mengambil sikap sambil lewa.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat 267 orang calon yang akan bertanding mewakili sembilan parti masing-masing. Kita raikan penyertaan mereka kerana kita mengamalkan demokrasi, tiada hak untuk menghalang mereka bertanding," katanya.

Untuk rekod, Abang Johari berjaya mempertahankan kerusi DUN Satok sebanyak sembilan penggal, iaitu sejak awal penglibatannya dalam kancah politik di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau akan berentap empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Gedong pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang akan berlangsung pada 18 Disember ini.

Beliau akan bersaing dengan tiga wakil daripada blok pembangkang iaitu Mohamad Sofian Fariz Sharbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Cikgu Kamal daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan wakil daripada Parti Bumi Kenyalang, Tomson Ango.


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


.