Jangan malu periksa organ seksual

A
A
A

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Golongan lelaki disaran buat pemeriksaan, cegah BPH dan kanser prostat

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu membuka lembaran baharu dalam peradaban manusia apabila masyarakat kini mula menyedari pentingnya kesihatan dan pencegahan awal dalam menghadapi wabak.

Dalam tempoh ini juga, sebahagian besar masyarakat negara ini sudah mula peka mengenai tubuh badan mereka malah turut menjadikan saringan kesihatan sebagai satu keperluan untuk mengelak daripada diserang penyakit.

Saringan kesihatan seperti pemeriksaan jantung, tekanan darah, paras kolesterol mahupun gula antara yang sering menjadi perhatian utama orang ramai namun yang menjadi permasalahan kini adalah pemeriksaan berkaitan organ seksual masing-masing.

Berbeza dengan wanita, kaum lelaki dikhabarkan lebih sukar untuk berbincang mengenai permasalahan dialaminya dan ini dibuktikan antara sebab mengapa penyakit berkaitan organ seksual mereka hanya boleh dikesan ketika berada di fasa akhir.

Pakar Perunding Urologi Hospital Gleneagles Medini Johor, Dr Allen Sim berkata, menerusi pengalamannya dalam bidang itu, dua penyakit utama yang kerap dihidapi lelaki adalah Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) dan paling berbahaya, kanser prostat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai penyakit ini, pembengkakan prostat yang bukan kanser (Benign prostatic hyperplasia [BPH]) adalah keadaan di mana kelenjar prostat membengkak dan sering berlaku kepada kaum lelaki yang berumur lebih 50 tahun.

Ia merupakan penyakit yang serius kerana menyebabkan masalah kencing dan akan mengganggu kehidupan serta tidur seseorang lelaki.

“Kebiasanya BPH akan dihadapi oleh 50 peratus lelaki yang usia 50 tahun ke atas di seluruh dunia.

“BPH boleh dikesan apabila seseorang itu merasa aliran air yang tidak lancar, meneran semasa kencing, rasa susah untuk mulakan kencing, pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya selepas kencing dan aliran air kencing terganggu,” katanya.

Infografik mengenai kanser prostat.
Infografik mengenai kanser prostat.

Kanser prostat juga berpotensi dihadapi oleh golongan lelaki di atas usia 50 tahun, yang mempunyai tabiat merokok atau mempunyai sejarah penyakit keturunan.

Apabila seseorang itu mempunyai BPH, pesakit tersebut akan merasa sukar untuk kencing kerana terdapat halangan (blockage), kanser prostat selalunya tidak bergejala. Kebiasaannya, pesakit mula menyedari gejala tersebut apabila ia sudah diperingkat akhir.

“Ini kerana sel-sel prostat yang dijangkiti kanser itu sudah mulai merebak ke seluruh badan.

“Jadi, untuk mengesannya pesakit perlu melakukan ujian darah ‘prostate spesific antigen’ (PSA) dan ujian ‘digital rectal,” jelas Dr Allen.

Sensitiviti

Menurut Dr Allen, perbincangan mengenai penyakit berkaitan organ seksual merupakan perkara yang sensitif dan lelaki kebiasaannya merasa malu untuk mendedahkannya.

Malah katanya, ada pesakit mengambil keputusan untuk berdiam diri dan masalah menjadi sukar apabila penyakit ini berada di tahap akhir dengan peratusan untuk sembuh sepenuhnya rendah.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

“Kita faham mereka bimbang dengan gaya hidup terutama melibatkan aktiviti seks mereka. Mereka juga biasa dimomokkan tentang isu tidak boleh melakukan seks atau tidak berupaya mendapat anak, menyebabkan mereka takut menjalani ujian.

“Sebenarnya, fahaman sebegini perlu dielakkan dan masyarakat seharusnya peka dengan kesihatan mereka. Isu mengenai tidak boleh melakukan seks adalah tidak benar, mereka masih boleh melakukannya tetapi mendapat zuriat itu bergantung kepada kesihatan dan tahap kanser prostat dialami,” katanya.

Meskipun pesakit kanser prostat yang berusia bawah 50 tahun merupakan kes terpencil dan agak jarang berlaku, namun pencegahan di peringkat awal diperlukan.

Kaedah rawatan

Berbeza daripada penyakit kritikal lain, pesakit BPH atau kanser prostat masih berpeluang dirawat dan boleh sembuh sepenuhnya jika dapat dikesan di peringkat awal.

“Biasanya, mereka yang mempunyai simptom boleh dirawat menerusi ubatubatan atau mungkin disyorkan pembedahan.

“Hospital Gleneagles Medini Johor mengesyorkan rawatan yang tidak perlu pembedahan dan dikenali sebagai ‘Microwave Thermodialitation’.

“Prosedur ini akan dijalankan sebagai pesakit luar dan tidak memerlukan anestetik kepada pembedahan badan. Apa yang penting, prosedur ini mempunyai risiko yang minimum,” katanya.

Bagi kanser prostat, ia lebih sukar dan bergantung kepada tahap penyakit sama ada dikesan di peringkat awal atau sebaliknya.

‘Pembedahan robotik digunakan untuk membuang prostat atau rawatan radioterapi. Di peringkat akhir, rawatan terapi hormon digunakan dengan cara suntikan atau pengambilan ubat." - Dr Allen

Pada masa lalu, pakar perunding urologi perlu bergantung pada imbasan

CT dan MRI untuk kanser prostat, tetapi imbasan jenis ini tidak dapat menunjukkan bahagian mana yang terjejas dengan kanser.

“Namun, dengan teknologi termaju kini kami mempunyai pengimejan resonans magnetik multi-parametrik (MP-MRI) yang lebih tepat.

“Sebarang kelain atau yang mencurigakan akan dikesan oleh MRI dan ia perlu menjalani biopsi,” jelasnya.

Kaedah ini bukan sahaja lebih tepat dalam mencari kanser tetapi boleh membantu menunjukkan tahap agresifnya.

Biopsi boleh disasarkan tanpa perlu lagi menyuntik melalui kelenjar dengan batang jarum secara rawak.

Pada tahap awal, pembedahan robotik digunakan untuk membuang prostat atau rawatan radioterapi.

Di peringkat akhir, rawatan terapi hormon digunakan dengan cara suntikan atau pengambilan ubatubatan.

“Kanser prostat ini sebenarnya tidaklah menakutkan berbanding kanser lain tetapi ramai lelaki tidak ambil peluang untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Pembunuh senyap

Meskipun mempunyai peratusan sembuh yang tinggi, kanser prostat juga berupaya menjadi pembunuh senyap kerana penyakit ini lazimnya dikesan di peringkat akhir dan boleh menjadi mudarat bergantung kepada fungsi tubuh setiap individu.

Menurut Dr Allen, jika kanser prostat dikesan pada peringkat awal, pembedahan atau radioterapi boleh dilakukan dan pesakit boleh pulih sepenuhnya.

Berbeza jika rawatan diberikan selepas ia dikesan pada peringkat akhir, meskipun boleh dirawat namun sukar untuk sembuh sepenuhnya.

“Apapun, jangkaan untuk pesakit bertahan boleh menjangkau dua atau tiga tahun. Berbeza dengan kanser lain seperti paru-paru yang hanya dijangka bertahan sekitar enam bulan hingga setahun sahaja. Namun begitu ia bergantung kepada kaedah rawatan,” katanya.

Akhir kata, kanser prostat boleh dicegah dengan bimbingan dan nasihat seperti mengurangkan pengambilan alkohol, kafein yang berlebihan dan sentiasa mengamalkan diet seimbang.