Graduan pergigian perlu lulus Peperiksaan Kelayakan Profesional

KHAIRY
KHAIRY
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua graduan pergigian yang ingin berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia hendaklah lulus Peperiksaan Kelayakan Profesional susulan penguatkuasaan Akta Pergigian 2018 [Akta 804] pada 1 Januari 2022.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mereka yang mempunyai kelulusan tersenarai di dalam Jadual Kedua Akta Pergigian 1971 dibenarkan untuk mendaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia tanpa perlu menduduki peperiksaan tersebut.

"Kebenaran ini hanya terpakai bagi tempoh lima tahun dari tarikh Akta Pergigian 2018 [Akta 804] dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, di bawah akta itu, doktor pergigian yang telah berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia boleh memilih untuk menjalankan khidmat wajib di

perkhidmatan awam atau swasta.

"Doktor pergigian yang mempunyai kelayakan pakar lepas ijazah yang diluluskan oleh majlis boleh memohon untuk didaftarkan sebagai pakar di dalam mana-mana 12 kepakaran pergigian bermula Februari 2022," katanya.

Beliau berkata, akta itu memperuntukkan penubuhan Majlis Pergigian Malaysia dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia, pendaftaran doktor pergigian dan juruterapi pergigian, pengawalseliaan amalan pergigian dan perkara-perkara berkaitan.

"Akta yang mengandungi sembilan bahagian dan 104 seksyen ini mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan, dan layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.

Artikel Berkaitan:

Dengan ini, kualiti perkhidmatan pergigian dan keselamatan pesakit adalah terjamin, serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan pergigian," katanya.

Khairy berkata, akta tersebut akan menggantikan Akta Pergigian 1971 [Akta 51] yang telah mengawal selia amalan dalam bidang pergigian selama 50 tahun.

"Walau bagaimanapun dengan perkembangan pengamalan dan teknologi dalam bidang pergigian, suatu akta baharu yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas dan peruntukan yang merangkumi semua aspek pengamalan pergigian terkini adalah diperlukan," katanya.

Ujarnya, antara peruntukan baharu dalam akta itu adalah Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi tujuan pendaftaran sebagai doktor pergigian, pendaftaran pakar pergigian dan juruterapi pergigian, keperluan pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan dan Perlindungan Tanggung Rugi Profesional bagi permohonan perakuan pengamalan serta penguatkuasaan dalam amalan pergigian.

"Seiring dengan perkembangan semasa, semua pengamal akan diwajibkan mengumpul markah Pembangunan Profesional Berterusan dan memperoleh Perlindungan Tanggung Rugi Profesional, sebelum memperbaharui perakuan pengamalan dan ia akan dikuatkuasakan 1 Januari 2025," katanya.

Tambah Khairy, akta itu turut membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil bagi amalan pergigian yang tidak mematuhi peruntukan terutamanya pengamalan pergigian haram.

"Sebarang maklumat lanjut berkaitan penguatkuasaan akta ini, sila hubungi Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia di ohd@moh.gov.my atau Majlis Pergigian Malaysia di mdc@moh.gov.my," katanya.