Ahli kumpulan Yuva terlibat samun, pecah rumah diberkas

Shafa'aton (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh pada Jumaat.
Shafa'aton (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis menumpaskan kumpulan Yuva yang disyaki bergiat aktif melakukan jenayah samun serta pecah rumah dan premis perniagaan selepas menahan tiga lelaki di Rawang dan Sungai Buloh pada 28 November hingga 3 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kesemua lelaki berusia 24 hingga 32 tahun itu ditahan secara berasingan menerusi Ops Khas Kuang.

"Kita merampas sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback, sebuah tablet, sebuah televisyen, sebuah unit pemprosesan komputer, dua telefon bimbit dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini pada Jumaat.

Shafa'aton berkata, modus operandi kumpulan yang bergiat aktif sejak September lalu adalah menyamar sebagai pelanggan sebelum menyamun mangsa.

"Kumpulan itu juga menggunakan kenderaan curi untuk melakukan jenayah. Hasil daripada kegiatan samun dan pecah rumah itu akan dijual dan hasil jualan akan dibahagikan dalam kalangan ahli kumpulan," jelasnya.

Beliau berkata, berikutan penahanan tersebut, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes iaitu sembilan di Sungai Buloh dan satu di Gombak.

"Semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," ujarnya.

Shafa'aton berkata, dua daripada suspek masih direman, manakala seorang lagi telah diserahkan ke IPD Tampin bagi membantu siasatan berkaitan kes langgar syarat Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, 457 dan 379 A Kanun Keseksaan," ujarnya.