Bersatu sokong penuh kepimpinan Abang Johari

Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
A
A
A

BINTULU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak kekal memberikan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menerajui kepemimpinan negeri itu.

Pengerusi Badan Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, pentadbiran kepimpinan Abang Johari yang juga Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu meneruskan pembangunan pesat di Sarawak.

"Sehubungan itu, Bersatu Sarawak akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tanpa berbelah bahagi dalam memastikan kemenangan GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Bersatu Sarawak Peringkat Bahagian Bintulu di Hotel Li Hua di sini, malam Rabu.

Dalam pada itu, Jaziri Alkaf Abdillah berkata, Bersatu Sarawak turut menyokong penuh keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini.

"Bersatu Sarawak juga akur dengan keputusan parti yang tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran parti.

"Berdasarkan perlembagaan parti, ahli yang melanggar perlembagaan boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas termasuk keahlian boleh terhenti serta merta.

"Oleh itu, mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti boleh berdepan tindakan disiplin seperti yang sedia termaktub dalam perlembagaan parti," ujarnya.

Artikel Berkaitan: